ARTIKEL

Penubuhan STATOS bawa impak positif, tarik pelancong Singapura ke Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SINGAPURA: Penubuhan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) memberi impak yang positif kepada industri pelancongan dengan menyaksikan kedatangan pelancong dari Singapura ke Sarawak kian rancak.

Kejayaan besar ini adalah hasil usaha Ejen Pelancongan Singapura yang telah memainkan peranan penting mereka dalam memajukan naratif pelancongan negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah mengiktiraf serta menghargai usaha ejen pelancongan tersebut dengan mengadakan Malam Pahlawan Sarawak.

“Perkongsian dengan rakan kerjasama kami amatlah penting bagi kami. Anda telah menggambarkan semangat juang yang menjadi teras rakyat Sarawak iaitu ‘agi idup agi ngelaban’ yang bermaksud kami akan berjuang berhabis-habisan.

“Justeru apabila pulih selepas Covid-19, kami ingin meraikan dedikasi dan kerja keras rakan kongsi kami yang telah membantu kami memperomosikan Sarawak di Sinagapura,” katanya.

Malam Pahlawan Kenyalang yang diadakan adalah termasuk penyerahan Anugerah Pahlawan Sarawak 2023 kepada tiga agensi pelancongan terbaik atas prestasi dan dedikasi mereka dalam mempromosikan Sarawak sebagai salah satu destinasi pelancongan terunggul.

Tiga agensi tersebut adalah FU Holidays Pte Ltd yang berjaya merangkul anugerah emas dan membawa pulang hadiah sumbangan bernilai RM9,000, manakala anugerah perak dimenangi Amazing Borneo Travel & Events Pte Ltd yang memenangi hadiah sumbangan bernilai RM6,000, dan Singatour Pte Ltd yang memenangi anugerah gangsa dan memenangi hadiah sumbangan bernilai RM3,000.

Sementara itu, Pengerusi STATOS Tan Sri Datuk Amar Haji Morshidi Abdullah berkata, tanpa kerjasama dan sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) serta rakan kongsi yang lain, acara ini tidak mungkin akan dapat dicapai.

“Usaha dan kerjasama adalah penting dalam mewujudkan perkongsian strategik yang memberi manfaat kepada industri pelancongan dan juga kepada para pelancong.

“Di samping itu,melalui acara ini, kami benar-benar dapat memperoleh lebih banyak maklumat untuk meningkatkan operasi perniagaan serta usaha pemasaran kami.

Jumlah ketibaan pelancong dari Singapura mencatatkan jumlah ketibaan tertinggi dari Januari hingga Ogos 2023 dengan pertumbuhan lebih daripada 20 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019.

Susulan itu, STATOS akan terus meneroka peluang seperti mencipta kerjasama strategik yang akan memberi manfaat kepada industri pelancongan dan juga kepada para pelancong.

Sehubungan itu, STATOS kini meningkatkan jangkauannya dengan bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan seperti Scoot, Malaysia Airlines dan AirAsia dalam usaha promosi seperti kempen tematik dan taktikal yang sesuai untuk pasaran Singapura.

LAIN-LAIN BERITA

BERITA TERBARU