Penubuhan Unit Komunikasi OKU mudahkan suara golongan OKU didengari

KUALA LUMPUR: Penubuhan Unit Komunikasi Orang Kurang Upaya (OKU) oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan memudahkan suara golongan itu didengari sekali gus membolehkan nasib OKU lebih terbela.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) George Thomas yang mengalu-alukan penubuhan unit itu berkata penyampaikan komunikasi yang baik dan terancang akan membantu golongan OKU memperoleh peluang membaiki diri seterusnya menjadikan mereka lebih berdikari termasuk dalam aspek kewangan.

Menurut George kekurangan maklumat antara penyebab golongan OKU tidak mengetahui program atau dasar khas yang dirancang kerajaan untuk mereka sehingga menyebabkan matlamat yang diharapkan tidak menjadi realiti.

“Program seperti latihan pertanian dan penternakan ada dianjurkan oleh kerajaan di pusat latihan khusus OKU namun masih ramai yang tidak mengetahui kewujudannya sedangkan sektor ini mampu menjana pendapatan yang baik sehingga membolehkan mereka keluar daripada garisan kemiskinan.

“Kerajaan perlu pastikan maklumat seperti ini bukan hanya sampai kepada golongan OKU, tetapi juga kepada penjaga atau ibu bapa mereka supaya mereka boleh mendorong anak atau adik mereka mengikuti program tersebut,” katanya kepada Bernama di Pahang.

George juga berharap unit tersebut dapat memperhalusi cara penyampaian komunikasi dengan mengambil perincian golongan terlibat seperti OKU penglihatan yang mempunyai kesukaran jika maklumat hanya disampaikan menerusi teks atau info grafik, menyebabkan mereka perlu bergantung kepada pihak ketiga.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Aizan Sofia Amin yang kehilangan kaki kanan akibat kanser menyifatkan kewujudan unit itu sebagai langkah permulaan bagi masyarakat lebih cakna terhadap golongan OKU.

Penerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara kategori OKU 2019 mengakui mengimpikan situasi masyarakat saling memahami dan bertoleransi dengan golongan OKU atas sikap hormat-menghormati dan bukannya kerana perasaan simpati semata-mata.

“Penubuhan unit ini adalah langkah awal untuk melibatkan golongan OKU dalam semua aspek dan apabila mesej berjaya disampaikan dengan baik, maka masyarakat tidak lagi kekok berurusan dengan kami sebaliknya melihat kami sama seperti individu lain yang boleh berjaya dengan kemampuan yang ada.

“Saya juga berharap penubuhan unit ini akan dianggotai wakil OKU kerana kami lebih memahami apa yang berlaku dalam masyarakat, selain jika boleh diperluaskan ke kementerian yang sesuai selari dengan prinsip inklusiviti,” katanya.

Pengarah Pusat Pengurusan OKU Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Zaiton Mohamad pula berkata penubuhan Unit Komunikasi OKU berkenaan merupakan satu pengiktirafan bahawa golongan OKU juga adalah aset berharga kepada negara.

Menurut Dr Zaiton ramai dalam kalangan golongan itu sering terpinggir dalam banyak perkara namun dengan adanya unit berkenaan, ia diharap akan memudahkan golongan OKU untuk mendapat maklumat berkaitan kepentingan mereka termasuk dalam aspek pendidikan.

“Masih ramai yang mengabaikan OKU kerana kurang kesedaran terhadap pendidikan dalam kalangan masyarakat mengenai golongan OKU. Sehinggalah diwujudkan Akta OKU 2008 untuk memastikan tidak ada diskriminasi terhadap golongan OKU dalam mendapatkan kemudahan aksesibiliti, kemudahan infrastruktur, tadbir urus dan sokongan sosial,” katanya kepada Bernama di Kota Kinabalu.

Seorang penjawat awam, Corinna Jul yang merupakan OKU fizikal sejak berumur lima tahun pula berkata idea berkenaan cukup baik untuk menjaga kebajikan pekerja OKU di samping melihat keperluan golongan itu dari sudut pandang golongan itu sendiri.

“Pada pandangan saya, untuk peringkat awal ini, pihak kementerian perlulah mengkaji dengan lebih terperinci tentang objektif penubuhan unit ini, supaya ia memberi manfaat kepada seluruh golongan OKU,” kata Corrina yang juga seorang penyampai radio di SarawakFM kepada Bernama Sarawak.

Sementara itu seorang OKU fizikal yang juga pengusaha perabot Azman Saidin, 38, mahu penubuhan Unit Komunikasi OKU itu berupaya membela nasib golongan sepertinya agar peristiwa yang dilaluinya sejak menjadi OKU tidak berlaku kepada OKU lain.

Azman berkata sebelum ini beliau adalah individu normal yang berkerjaya sebelum bergelar OKU namun setelah menjadi OKU akibat kemalangan yang alaminya pada 2017, beliau hilang pekerjaan dan berhadapan banyak kesukaran dalam meneruskan kehidupannya.

“Saya tiada duit untuk membayar tetapi pihak bank tetap telefon setiap bulan sehingga memberi tekanan emosi kepada saya dan juga mungkin kepada OKU yang senasib dengan saya,” katanya yang berasal dari Kampung Selaud, Tuaran.

Pada 3 Dis lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Saifuddin Abdullah berkata kementerian akan menubuhkan Unit Komunikasi Orang Kurang Upaya (OKU) bagi meningkatkan fasilitasi komunikasi dua hala antara kerajaan dan golongan berkenaan.