Penuhi harapan, impian 20,000 penduduk

MIRI: Semalam (18 April) merupakan ulang tahun pertama pembinaan Jambatan Pehin Seri Haji Adenan Satem di Long Lama yang telah banyak memberi harapan dan impian penduduk di Telang Usan.

Mengimbau sejarah pembinaan jambatan tersebut, Adun Telang Usan, Dennis Ngau menjelaskan rakyat sentiasa menaruh harapan tinggi terhadap wakil rakyat untuk memenuhi keperluan mereka.

“Sebagai wakil rakyat yang dilahirkan dan membesar di rumah panjang di Telang Usan, saya dapat merasakan denyut nadi rakyat dengan jelas dan permintaan mereka ialah jambatan yang dapat menyeberangi Sungai Baram di kawasan Long Lama,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menceritakan detik-detik pembinaan jambatan tersebut, pada 2011 beliau dilantik sebagai Adun Telang Usan.

“Ketika itu, Pehin Sri Adenan tanpa ragu-ragu mempersetujui permintaan rakyat untuk membina jambatan tersebut.

“Saya berasa sangat gembirakerana sejak dari awal lagi saya terlibat sama dengan pelbagai pihak untuk membangunkan jambatan ini, dan menjadikan impian rakyat Telang Usan menjadi kenyataan dan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak,” ujarnya.

Katanya, jambatan yang bernilai RM70 juta itu cukup bermakna buat rakyat di kawasan tersebut.

“Ia memberi manfaat kepada sekitar 20,000 penduduk luar bandar dan bandar di Long Lama, termasuk di rumah panjang Kayan, Kenyah dan Penan di seluruh wilayah Apoh dan Tutoh.

“Sebelum ini penduduk bergantung sepenuhnya kepada feri yang beroperasi pada jam 7 pagi hingga 9 malam setiap hari, namun kini ia tidak diperlukan lagi dan perjalanan lebih singkat,” katanya.

“Ia turut memudahkan masyarakat luar bandar, terutama pekebun kelapa sawit dari Long Lama, Tutoh dan Apoh. Dengan itu, ekonomi penduduk semakin baik,” ujarnya.