Penuhi janji utamakan hak Sarawak

SEBUYAU: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pilihan terbaik kerana sentiasa mengutamakan keperluan rakyat, kata Ahli Parlimen Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Ujarnya, GPS juga sentiasa memenuhi janji dengan mengutamakan hak Sarawak, sama seperti moto Utamakan Sarawak dengan keprihatinan kerajaan diterjemahkan melalui pelbagai pelan pembangunan.
“Melihat kepada apa yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak hingga ke hari ini, tiada sebab untuk rakyat untuk tidak menyokong GPS khususnya pada pilihan raya yang akan datang. “GPS di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg merupakan pilihan terbaik,” tegasnya.
Beliau yang juga Penasihat di Pejabat Ketua Menteri berkata demikian pada majlis penyampaian geran peruntukan fasa dua projek kecil luar bandar (MRP) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) untuk tahun 2020 bagi Dun Sebuyau bertempat di Dewan Pembangunan Sebuyau, pada Khamis.
Sejumlah RM419,000 geran di bawah peruntukan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri disalurkan kepada 24 persatuan.
Dalam perkembangan berlainan, beliau menzahirkan kesedihan atas kejadian yang menimpa mangsa tragedi Feri Triso dan berharap ahli keluarga yang terlibat tabah menghadapi dugaan.
“Selepas berlakunya tragedi ini, kita dapat melihat prosedur operasi standard (SOP) baharu telah dikuatkuasakan di setiap pangkalan feri antaranya mewajibkan semua penumpang kenderaan untuk turun dari kenderaan dan berjalan kaki masuk ke dalam feri.
“Semua SOP ini dikuatkuasakan kerana tidak mahu tragedi yang sama daripada berulang. Oleh yang demikian, semua kita hendaklah mematuhinya walaupun sudah terdengar beberapa rungutan daripada orang ramai yang mengatakan SOP ini melambatkan lagi barisan kenderaan yang menunggu giliran untuk masuk ke dalam feri.
“Ingin saya tegaskan di sini, penguatkuasaan SOP ini ialah untuk keselamatan semua, bukan bertujuan untuk menyusahkan sesiapa. Kita perlu mengambil iktibar atas kejadian yang berlaku ini,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai untuk tidak leka dalam menghadapi pandemik Covid-19 serta sentiasa mematuhi SOP demi mengekang penularannya.

Suara Sarawak