Penuhi keperluan pelajar

KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menyambut baik inisiatif Kerajaan Persekutuan mengenai subsidi pembelian telefon pintar atau peranti baharu sebanyak RM300.

Presidennya Ahmad Malie berkata, subsidi tersebut akan diberikan kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bagi setiap isi rumah yang mempunyai anak bersekolah.

“Dengan subsidi tersebut, kami (KGBS) yakin ia dapat meringankan beban ibu bapa untuk membeli peranti yang sesuai bagi memenuhi keperluan anak-anak mereka.

“KGBS juga melihat subsidi itu merupakan permulaan yang baik daripada kerajaan untuk memastikan semua rakyat tanpa mengira tahap sosioekonomi memiliki peranti untuk pembelajaran,” katanya baru-baru ini.

Terdahulu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan insentif itu adalah penambahbaikan bagi subsidi pembelian telefon sebanyak RM180 yang dilaksanakan kerajaan, bagi penerima BPR seperti yang diumumkan di bawah Belanjawan 2021.

Muhyiddin ketika mengumumkan perkara tersebut pada Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) pada 17 Mac lalu juga memberitahu peruntukan program itu akan ditingkatkan kepada RM2 bilion dan dijadual dilancarkan pada awal Mei kelak.

Sehubungan itu Ahmad berharap ibu bapa dapat menggunakan subsidi tersebut dengan baik untuk kepentingan pembelajaran anak-anak yang memerlukan. “Justeru, KGBS turut mengalu-alukan usaha kerajaan untuk melaksanakan inisiatif mengurangkan jurang digital dalam kalangan rakyat.

“Dengan terlaksananya inisiatif ini, kerajaan berhasrat untuk  memastikan lebih ramai rakyat dapat mengakses Internet,” ujarnya.

Menurutnya, KGBS juga berharap agar insentif tersebut dalam direalisasikan dalam tempoh yang singkat untuk memenuhi keperluan rakyat yang sentiasa mengharapkan capaian Internet yang baik.

“Ia sekali gus dapat meningkatkan taraf sosioekonomi secara global. KGBS yakin dengan inisiatif sedemikian akan memberikan manfaat dalam usaha kerajaan untuk membangunkan rakyat dalam dunia teknologi,” tegasnya.

Suara Sarawak