Penularan dalam komuniti tinggi

KUCHING: Rantaian penularan virus Covid-19 perlu diputuskan untuk mengelak lebih banyak kemunculan varian virus, nasihat Konsultan Penyakit Berjangkit Hospital Umum Sarawak (HUS), Dr Chua Hock Hin.

Dr Chua ketika dihubungi Suara Sarawak berkata, situasi kini berbeza berbanding setahun lalu berikutan penularan virus dalam komuniti adalah tinggi ketika ini.

Katanya, rakyat harus menerima hakikat bahawa virus dalam komuniti ketika ini tinggi dan orang ramai dinasihati mengelakkan diri daripada dijangkiti virus terbabit.

“Kita harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP), elakkan tempat yang sesak dan jika anda berada di tempat yang sesak, sentiasa amalkan penjarakan fizikal satu meter antara satu sama lain.

“Jika boleh, sekiranya anda bukan daripada kalangan keluarga yang tinggal bersama, adalah lebih baik untuk anda tidak makan bersama.

“Ini kerana apabila anda makan bersama, anda harus menanggalkan pelitup muka dan pada ketika itu terdapat kemungkinan virus itu dapat merebak kepada individu yang makan bersama-sama anda sekiranya anda pembawa tidak bergejala,” kata Dr Chua.

Beliau mendedahkan, dalam kes harian yang dilaporkan, didapati masih ramai melakukan pergerakan rentas daerah atas tujuan pekerjaan dan alasan peribadi.

Dr Chua memberitahu, perkara itu perlu dihentikan buat ketika ini kerana tindakan tersebut akan menyebabkan risiko penularan virus adalah tinggi ketika ini. “Sekiranya ramai yang dijangkiti, jumlah pesakit memerlukan penjagaan hospital untuk penyakit teruk akan meningkat.

“Kes yang teruk ini akan memerlukan bantuan oksigen dan sekitar lima hingga 10 peratus mereka yang dijangkiti akan memerlukan rawatan di unit rawatan rapi.

“Lihat perkara yang terjadi di negeri Selangor dan India. “Kita memerlukan bantuan orang ramai untuk memainkan peranan mereka bagi membendung virus ini,” katanya.

Dr Chua menambah, individu yang mengalami sebarang simptom seperti batuk, demam, sakit tekak, hilang deria bau dan rasa, sesak nafas, cirit-birit dan gejala lain perlu segera menjalani saringan Covid-19.

Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati orang ramai agar mendaftarkan diri untuk menerima vaksin Covid-19.

“Ini merupakan salah satu cara untuk anda mempunyai imun untuk melawan virus ini dan mencegah daripada penyakit yang teruk. “Mulakan dengan memberi perhatian kepada kesihatan anda. Bertindak sekarang sebelum terlambat,” kata Dr Chua.

Suara Sarawak