ARTIKEL

Penulis upahan, kisah nasib dan Abang Jo

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TATKALA Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuji Sarawak dan Premiernya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam podcast Meh Dengo Jap! yang bersiaran secara langsung di hadapan ribuan anak muda Johor, sudah pasti banyak yang menggelupur bagai cacing kepanasan.

Pasti ramai yang tidak puas hati. Tidak kurang penulis-penulis upahan yang mungkin dibayar untuk membakar sentimen dan menyerang pemimpin utama Sarawak itu.

Tunku Ismail secara terbuka memuji Sarawak kerana solidariti rakyatnya dan juga kekuatan parti politiknya.

Beliau malah mahu rakyat dan ahli politik Johor meniru kejayaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sehingga mampu melakukan pelbagai bargains kepada Kerajaan Persekutuan.

Begitu juga dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Mereka tanpa sembunyi mengagumi kehebatan politik Sarawak dan solidariti rakyatnya, yang kemudian membawa kepada kemajuan dan kemakmuran negeri itu.

Penulis sebetulnya ingin melihat reaksi Nehru Sathiamoorthy, penulis buku While Waiting for the World to end dan kolumnis pojok, The Real Nehruism dalam portal berita Newswav, yang dalam artikelnya menuduh kejayaan Sarawak dan Abang Johari hari ini adalah kerana nasib.

Bahkan beliau meramalkan nasib itu akan berakhir tidak lama lagi, kerana kelantangan Sarawak dan Sabah mendesak hak mereka untuk mendapatkkan 35 peratus daripada kerusi parlimen.

Sathiamoorthy ialah contoh penulis yang baling batu sembunyi tangan.

Apabila Abang Johari mempertahankan dirinya, bahawa nasib tidak ada kaitan dengan kejayaan Sarawak pada hari ini, beliau berlakon seolah-olah menjadi mangsa, atau playing victim.

Menulis dalam pojoknya yang terkini, beliau menyelar Abang Johari kerana melayan tulisannya, dan menyifatkan dirinya sebagai orang yang sekadar penikmat teh tarik.

Abang Johari katanya, tidak wajar mempertahankan diri dan membiarkan tulisan yang hanya dibaca 4,4000 orang itu berlalu pergi.

Ternyata Sathiamoorthy belum matang dan tidak bijak, biarpun mengatakan dirinya banyak menulis dalam pelbagai penerbitan.

Dalam tulisannya yang terdahulu, beliau mengasak Abang Johari kiri dan kanan termasuk dari segi pendidikan, walhal beliau tidak memahami apa yang diperjuangkan oleh Abang Johari.

Adakah, apabila beliau memfitnah dan menghina pemimpin Sarawak, Abang Johari perlu menikus?

Jika Abang Johari tidak bersuara, percayalah sudah pasti rakyat negeri ini akan mengambil tindakan.

Beliau bernasib baik kerana rakyat Sarawak diasuh untuk tidak mudah untuk bertindak di luar batas.

Malah rakyat di negeri ini didisiplinkan untuk tidak bertindak ekstrem dan bersikap rasis.

Individu seperti Sathiamoorthy tidak lebih daripada individu rasis yang cemburu tentang kejayaan Sarawak, kestabilan politik dan kesuburan ekonominya.

Beliau hanya berfikiran sempit, apabila memikirkan segala-galanya mengenai Sarawak adalah kerana nasib.

Untuk beliau lebih memahami, segala-gala kejayaan mengenai Sarawak bermula daripada penubuhan GPS dan keazaman Abang Johari sendiri.

Bukan nasib apabila Abang Johari menelaah perlembagaan negara, sehingga menemui klausa yang membenarkan Kerajaan Sarawak mengenakan royalti dan cukai terhadap minyak dan gas yang dilombong di wilayah ini.

Bukan nasib juga apabila beliau menjadikan ruang udara Sarawak boleh dicukai dan mendatangkan hasil. Bukan nasib jika hasil padi di negeri ini boleh dituai lima kali dalam 24 bulan, serta sumber tenaga boleh diperbaharui sentiasa bertambah.

Malah sebagai wartawan, penulis menyaksikan sendiri idea inovatifnya mengalahkan saintis dan jurutera! Ia juga adalah kerja keras apabila pasukan perundangan Sarawak dipandu Abang Johari berjaya mendapatkan balik segala kuasa Sarawak yang terhakis melalui Perjanjian Malaysia 1963.

Ia juga kerja keras apabila sejak awal mengambil alih pentadbiran Sarawak, beliau memperkenalkan Ekonomi Digital, Ekonomi Hidrogen dan kini Ekonomi Hijau ketika banyak negeri lain, termasuk Kerajaan Persekutuan masih dibuai isu politik dan melayan ekonomi konservatif. Justeru di mana nasibnya?

Atau anda hanya dibayangi rasa dendam dan geram dengan kehebatan Sarawak, atau pada hari menulis pojok itu, anda ketandusan idea. Berpijaklah di bumi nyata dan tulislah sesuatu secara ikhlas.

Atau anda sebenarnya menulis atas nama agenda yang ramuannya disediakan oleh orang tertentu? Saya juga tertarik dengan kupasan mentah dan berat sebelah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd., Mohamad Azlan Jaafar menerusi pojoknya di Utusan Malaysia.

Dalam tulisannya, beliau mempersoalkan tentang peranan Petronas yang akan diambil alih oleh Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) dalam kegiatan jual beli gas asli di Sarawak, bermula 1 Julai ini hingga 1 Januari 2025.

Beliau memetik kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah yang juga pengasas Petronas yang berkata, syarikat itu ditubuhkan antaranya atas kehendak rakyat Sarawak sendiri bagi menguruskan kegiatan industri petroleum termasuk di negeri itu.

Implikasi pengambilan semua operasi berkaitan jual beli gas adalah terlalu besar termasuk syarikat asing diberikan hak membeli gas atau semua operasi berkaitan gas diserahkan kepada warga luar, tulisnya.

Kesannya katanya lagi, dominasi Petronas yang kita kenali akan berakhir.

Seperti Sathiamoorthy, tulisan Azlan ini jelas tanpa fakta yang wajar. Seperti jelas Abang Johari, penubuhan Petros bukan bermakna ia akan menyaingi Petronas dan mengambil alih segala-galanya.

Sebaliknya kedua-dua syarikat gas dan minyak itu akan bekerjasama erat bagi memastikan sektor itu terus berkembang baik.

Daripada sekadar minyak dan gas, sektor yang diliputi mereka juga semakin membesar, termasuk sektor hidrogen – yang Sarawak kini menjadi pelopornya.

Adalah adil sebenarnya untuk Sarawak dan Sabah menubuhkan syarikat minyak dan gas mereka sendiri, kerana selama ini mereka sekadar menjadi pemerhati dan bukan pemain dalam sektor ini.

Sedangkan segala hasil ini adalah dikaut dari bumi kedua-dua wilayah itu sendiri.

Tidak wajar mereka “tengok sahaja” sementelahan hasil tersebut tidak pula pulang kepada mereka dalam bentuk pembangunan?

Ketika ini, semua pihak berjaya berbincang secara harmoni, malah menjalinkan pelbagai kerjasama dalam memakmurkan ekonomi masing-masing, baik Petronas, Kerajaan Persekutuan, Petros dan Kerajaan Sarawak.

Tulisan ini bukan bertujuan untuk menjawab tuduhan “panas” pojok-pojok di atas, tetapi sekadar memberi keadilan kepada Sarawak dan pemimpinnya.

Hasil yang dijangkakan lebih RM16 bilion yang bakal diperoleh Sarawak tahun ini bukan mimpi dan nasib. Ia ada usaha gigih, kerja keras dan kebijaksanaan, serta kesungguhan untuk meningkatkan ekonomi negeri.

Nasib semata-mata tidak akan menjadikan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi.

Dan tidak juga menjadikan negeri ini terkehadapan, sehingga dicemburui banyak pihak.

Selamat datang ke bumi nyata.

  • Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media Sarawak.

BERITA LAIN

Berani cakap berani hadap

KEMATIAN seorang pempengaruh baru-baru ini kerana tidak tahan berdepan dengan buli siber membawa kepada penahanan beberapa individu yang dipercayai membuat ugutan terhadap pempengaruh itu. Sudah

Sasaran 70 emas realistik

SEBAGAI tuan rumah dan selaku bekas juara tiga kali berturut-turut (1990, 1992 dan 1994), adalah wajar untuk kontinjen Sarawak mengimpikan kejuaraan keempat temasya sukan berprestij

PETROS, PETRONAS dan kejutan gembira

RUPA-RUPANYA masih ada yang tidak berpuas hati apabila Sarawak menggerakkan usaha dan berjaya dalam menuntut haknya terhadap pemilikan padang dan lombong minyak dan gas di

Sihat sebelum sakit

MANFAATKAN lima perkara sebelum lima perkara. Pertama, muda sebelum tua; kedua, sihat sebelum sakit; ketiga, kaya sebelum miskin; keempat, lapang sebelum sibuk dan kelima, hidup

Azam baharu hijrah

NABI Muhammad SAW dan sahabat berhijrah dari Makkah ke Madinah. Di situ bermula kisah Muhajirin dan Ansar bertaut persaudaraan, dan berkembangnya umat Islam lantaran tersebar ke

Ikhlas belajar

SEBELUM memasuki alam pekerjaan atau mengeluarkan titih peluh menjana pendapatan, sudah pasti terdapat mahasiswa mempunyai perancangan kerjaya sendiri. Ada antara mereka mengidamkan untuk bekerja mengikut

BERITA TERBARU