Penumpang dari Sarawak, Sabah tidak perlu kuarantin

KUALA LUMPUR: Penumpang domestik dari Sabah dan Sarawak tidak akan menjalani proses kuarantin selama 14 hari di Semenanjung.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, hanya mereka dari Semenanjung dan ingin ke Sabah atau Sarawak tertakluk kepada arahan untuk dikuarantin terlebih dahulu di dua negeri berkenaan.

“Kalau di Semenanjung memang tidak ada kuarantin selama 14 hari. “Ini kerana kawasan yang sama, tetapi mereka yang ke Sabah dan Sarawak ada kuarantin selama 14 hari.

“Jadi, kuarantin di Kuching (Sarawak) contohnya dan mereka akan dikuarantin selama 14 hari.

“Sampel akan diambil. Kalau negatif baru mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Salah satu sebab ialah ia tertumpu di Kuching… kalau mereka kembali ke rumah mereka di kawasan pedalaman jadi mungkin mereka positif atau bergejala susah untuk mereka dapatkan rawatan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya semalam.