ARTIKEL

REMUK… Keadaan Myvi yang remuk akibat terbabas selepas bertembung dengan Hilux.

Penumpang wanita, 55, maut dalam nahas jalan raya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Seorang penumpang sebuah kereta maut manakala pemandunya dilaporkan cedera dalam nahas melibatkan Perodua Myvi dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Batu 12 Jalan Kuching-Serian di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata dalam kejadian sekitar jam 10.23 pagi itu, mangsa yang maut merupakan seorang wanita dan dikenali sebagai Beky Nyuu, 55.

“Kejadian berlaku semasa Hilux dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun, bersama penumpang wanita, 26, yang bergerak lurus di lorong kanan, tiba-tiba bertembung dengan Myvi dipandu lelaki warga emas, 61, bersama mangsa yang keluar dari simpang sebelah kiri dan terus hendak masuk ke laluan kanan. 

“Disebabkan jarak terlalu dekat, Hilux terbabit tidak sempat membrek lalu bertembung dengan kenderaan dinaiki mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abang Zainal, akibat pertembungan itu Myvi terbabit terbabas ke kiri jalan dan masuk ke dalam longkang dan mengalami kerosakan pada bahagian hadapan, sisi kiri dan sisi kanan. 

Baca lain  Pasar Serikin harus jadi pasar sempadan pertama guna e-Duit

Beliau berkata, pemandu Myvi mengalami kecederaan di bahagian muka dan beberapa anggota badan sementara mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala.

“Mangsa kemudian dilaporkan telah meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak dan disahkan oleh Pegawai Perubatan pada hari kejadian sekitar jam 12.55 tengah hari.

“Cuaca ketika kejadian baik manakala lokasi kejadian adalah satu hala yang mempunyai tiga lorong manakala kadar penglihatan adalah baik.

“Kes kini masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” kata Abang Zainal.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU