Penunggang motosikal maut setelah terbabas di jejambat Serian

KUCHING: Seorang lelaki meninggal dunia setelah motosikal yang dinaikinya terbabas melanggar tembok pembahagi jalan di Kilometer 60, Jalan Kuching/Sri Aman di Serian semalam.
Mangsa dikenali sebagai Mohammad Eldi Hanani, 30 tahun dari Kampung Hilir, Serian mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, dalam kejadian sekitar 9.50 malam, mangsa sedang menunggang motosikal bersendirian dari Bandar Serian menuju ke Sri Aman.
“Motosikal mangsa telah hilang kawalan semasa melalui kawasan selekoh jejambat Kilometer 60, Jalan Kuching/ Sri Aman berhadapan dengan pejabat Pos Serian.
“Motosikal yang ditunggang oleh mangsa telah melanggar tembok pembahagi jalan dan terseret di atas jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Alexson, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pasukan paramedik Hospital Serian.
Tambahnya, motosikal mangsa telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk tindakan selanjutnya.

Motosikal mangsa yang terbabas di atas jejambat di Kilometer 60, Jalan Kuching/Sri Aman.

Suara Sarawak