ARTIKEL

Penurunan kuasa pendidikan kepada Sarawak belum dimuktamad

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Kelulusan projek untuk sekolah yang dibiayai Kerajaan Sarawak seperti Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) tidak akan diputuskan lagi oleh Putrajaya, sebaik sahaja penurunan kuasa untuk pendidikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) direalisasikan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata setakat ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah bersetuju untuk penurunan kuasa khususnya yang bersifat pentadbiran, daripada KPM sehingga Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS).

Bagaimanapun, beliau berkata kementeriannya masih belum menerima maklum balas rasmi untuk pengaturan tentang bagaimana penurunan kuasa itu akan berlaku.

“Sebaik sahaja ini direalisasikan, kita berharap isu pelaksanaan yang perlahan melibatkan RTP dan projek lain yang dibiayai kerajaan negeri dapat diselesaikan,” katanya ketika membentangkan ucapan penggulungan kementeriannya sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Menurut Sagah, kementeriannya telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan KPM berhubung penurunan kuasa untuk pendidikan kepada Sarawak di bawah MA63.

Katanya kedua-dua pihak juga telah membuat perwakilan dalam Jawatankuasa Teknikal, Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Jawatankuasa Teknikal pada dasarnya bersetuju dengan perwakilan yang dibuat dan memutuskan agar KPM dan kementerian saya berbincang bagi memuktamadkan perkara tersebut untuk diputuskan oleh jawatankuasa induk yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Sementara mengenai sistem penilaian bagi murid Tahun Enam dan Tingkatan Tiga di semua sekolah kerajaan di negeri ini, Roland Sagah berkata ia akan berfungsi sebagai satu cara untuk mengukur keberkesanan Program Dwi Bahasa (DLP), selain inisiatif lain untuk meningkatkan pengambilan subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Masih terlalu awal untuk dihuraikan kerana kita masih membincangkan pelaksanaannya…cukuplah untuk mengatakan bahawa penilaian akan memberi tumpuan
kepada mata pelajaran DLP iaitu Sains, Matematik dan bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau menambah penilaian standard dijadualkan bermula pada 2025, apabila pelajar DLP ketika ini mencapai Tahun Enam.

“Yakinlah bahawa penilaian yang dicadangkan tidak akan menyebabkan tekanan yang tidak wajar kepada semua pihak, pelajar, guru, pihak sekolah dan ibu bapa,” katanya.

LAIN-LAIN BERITA

BERITA TERBARU