Penutupan sekolah di Sarawak meningkat

KUCHING: Penutupan sekolah di seluruh Sarawak meningkat kepada 1,037 buah untuk sesi persekolahan hari ini berbanding semalam 890.

Jabatan Pendidikan Negeri dalam satu kenyataan berkata, penutupan sekolah terbabit menjejaskan proses pembelajaran dan pengajaran 325,391 murid dan pelajar.

Sekolah paling banyak ditutup di Sibu iaitu 116 buah dan diikuti oleh Padawan 100 buah.

Sebanyak 18 lagi kawasan turut merekodkan penutupan sekolah masing-masing.

Kenyataan itu menyebut, penutupan sekolah-sekolah berkenaan adalah mengikut prosedur operasi standard Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akibat jerebu apabila kesihatan murid atau pelajar dan guru diutamakan.