
MARUDI: Seramai 530 orang penduduk dengan 103 buah rumah terjejas akibat banjir di Kampung Long Bemang, di sini.
Info dari Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memaklumkan paras air dilaporkan semakin menaik dan menjejaskan banyak kediaman.
“Paras air yang meningkat sejak tiga hari lalu masih belum surut dan setakat jam 11 pagi tadi walaupun cuaca dilaporkan cerah.
“Kini, penduduk sedang sibuk membuat kerja memindah barangan ke paras tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah kenyataan itu, keadaan lalu lintas jalan utama juga agak sibuk memandangkan beberapa kawasan Jalan Nakhoda mula ditenggelami air.
Bagi Jalan Ridan, ia masih belum banjir, manakala Jalan Kampung Narum telah ditenggelami air sekitar 1 kaki bagi kawasan sekitar Balai Raya.
Setakat ini tambah kenyataan tersebut, tiada perpindahan dibuat dan bekalan elektrik telah ditutup sementara waktu oleh Pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) pada 15 November 2022 lalu di semua kawasan yang terjejas banjir untuk keselamatan penduduk kampung.
Pihak Bomba menasihatkan penduduk terlibat agar sentiasa mengambil langkah waspada dan bersedia bertindak untuk berpindah sekiranya keadaan banjir memudaratkan keselamatan mereka.
Pasukan Bomba Sukarelawan Long Bemang juga sentiasa memantau banjir dan menasihati penduduk agar berada di kawasan tinggi.