SERIAN: Penutupan sempadan negara akibat penularan pandemik Covid-19 tidak menghalang usaha sama dan perdagangan antara Malaysia dengan Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.
Duta Khas Perdana Menteri Ke Asia Timur Datuk Sri (Dr) Richard Riot Jaem berkata, beliau mengadakan pelbagai siri perbincangan dan pertemuan yang serius dengan duta besar dari ketiga-tiga negara tersebut.
“Saya sebagai duta khas bertaraf menteri ke Jepun, Korea Selatan dan Taiwan belum berkesempatan ke negara tersebut kerana sempadan masih ditutup akibat Covid19.
“Bagaimanapun, saya meneruskan pelbagai perbincangan termasuk menggunakan sidang video dalam usaha untuk mengembangkan lagi pelaburan dari negara tersebut walaupun berdepan cabaran ekonomi semasa,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Serian berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan naik taraf tempat parkir kereta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serian, di sini pada Khamis.
Menurutnya, selain berbincang dengan negara tersebut melalui kedutaan di Malaysia, termasuk Persatuan Pelabur Taipei Di Malaysia (TIAM) dan Dewan Perdagangan dan Industri Jepun (JACTIM) bagi meninjau peluang perniagaan yang boleh diusahakan.
“Seperti yang kita sedia maklum, Jepun mempunyai 1,400 syarikat gergasi yang sudah bertapak di negara ini yang memberi peluang pekerjaan kepada 300,400 rakyat Malaysia . “Malah dalam tempoh pandemik ini, tidak seorang pun kakitangan mereka yang kehilangan pekerjaan.
“Justeru, saya membuat kerjasama dengan mereka dan menerima maklum balas yang sangat positif,” jelasnya. Mengulas lanjut, Riot komited untuk membawa masuk lebih ramai pelabur dari Asia Timur itu ke Malaysia serta mengembangkan perniagaan pelabur sedia ada yang bertapak di negara ini.
“Saya berharap agar syarikat di Malaysia juga berusaha keras untuk terus mencari pelabur khusunya dari negara Jepun dan Korea Selatan supaya melabur di negara kita,” ujarnya.
Beliau turut yakin ramai pelabur besar akan terus melabur di Sarawak walaupun dalam situasi Covid-19 kerana pelabur yakin dengan kestabilan ekonomi dan politik negeri ini.