Penyediaan infrastruktur penyimpanan dan pengagihan vaksin Covid-19 dijangka siap 19 Februari ini

BINTULU: Proses penyediaan infrastruktur penyimpanan dan pengagihan vaksin Comirnaty di fasiliti terpilih di seluruh negara dijangka selesai pada 19 Februari ini.
Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang berkata, setakat ini sejumlah 13 unit penyimpanan Pembeku Suhu Ultra Rendah(ULTF) telah diterima di fasiliti Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.
Beliau berkata Hospital Bintulu merupakan salah satu fasiliti yang bakal ditempatkan dengan ULTF itu.
Manakala, bagi ‘top loading refrigerator’ pula,katanya, sebanyak 43 daripada 55 unit telah diterima sehingga kini.
“Bagi bekas penyimpanan sejuk beku dan alat pencatat data pula, penerimaan peralatan ini dijangka akan diselesaikan secara berperingkat sebelum vaksin diterima di fasiliti berkaitan, katanya pada sidang media Program Latihan Percubaan Penghantaran (dry run) vaksin Pfizer Covid-19 di Hospital Bintulu hari ini.
Dari sudut penyediaan latihan kepada petugas kesihatan yang terlibat, Aaron berkata fokus latihan akan tertumpu kepada pengurusan produk vaksin dan pelaksanaan program pemberian vaksin.
Latihan bersepadu tersebut, jelasnya, bagi memastikan kejayaan program penvaksinan Covid-19 di negara dapat dilakukan dengan lancar seperti yang disasarkan.
“Program latihan ini dijangka akan bermula awal Februari ini dan diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat, tambahnya lagi.
Mengenai program dry run hari ini dan semalam (Jumaat), beliau berkata program tersebut penting sebagai persediaan sebelum KKM menerima vaksin Covid-19 sebenar untuk kegunaan di pusat – pusat vaksinasi seluruh negara.
Katanya, ia bagi melihat dan memastikan pengekalan suhu ultra sejuk negatif 75 Celsius vaksin Pfizer BioNTech adalah terjamin sepanjang tempoh penghantaran dari pengilang ke kawasan luar bandar.
“Semasa dry run di Klinik Kesihatan Belaga semalam, mendapati Thermal Shipping Container yang dihantar oleh pihak Pfizer BioNTech berjaya mengekalkan suhu simpanan produk antara -90 Celsius hingga -60 Celsius sepanjang perjalanan dari Belgium hingga ke Klinik Kesihatan(KK) Belaga, ujarnya.
Menurut Aaron lagi, KKM akan menilai aktiviti dry run yang telah dijalankan di KK Belaga dan Hospital Bintulu bagi mengenalpasti sebarang kelemahan yang boleh diperbaiki untuk memastikan pelaksanaan imunisasi Covid-19 berjalan lancar.

Suara Sarawak