Penyelam ingkar arahan PKPB di perairan Miri dikompaun

MIRI: Maritim Malaysia, Zon Maritim Miri telah menahan sebuah bot yang disyaki melakukan aktiviti rekreasi menyelam di perairan Miri pada 31 Mei lalu.

Pengarah Zon Maritim Miri Md. Fauzi Othman berkata, sebuah bot telah dikesan menjalankan aktiviti rekreasi menyelam pada jarak lebih kurang 12.7 batu nautika dari perairan Miri oleh bot ronda Maritim Malaysia.

“Hasil pemeriksaan mendapati bahawa mereka gagal mengemukakan surat kebenaran untuk melakukan aktiviti rekreasi menyelam tersebut.

“Kesemua sembilan individu dibawa ke balai polis untuk dikenakan kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” ujarnya menerusi kenyataan pada 31 Mei lalu.

Beliau menegaskan, Maritim Malaysia mengingatkan agar kesemua komuniti maritim terutama pada pengusaha bot yang menjalankan aktiviti rekreasi seperti bot pemancing dan menyelam agar mematuhi dan mengikuti arahan PKPB yang sedang dilaksanakan.

“Pematuhan ini masih berkuatkuasa sepanjang PKPB dan semua aktiviti berkaitan pelancongan dan rekreasi hendaklah mendapatkan kebenaran bertulis daripada jabatan berkaitan.

“Amaran keras dan juga tindakan tegas akan diambil kepada individu yang mengingkari arahan tersebut,” katanya.

Pihak mereka juga menyeru kerjasama daripada masyarakat terutamanya komuniti maritim dalam memberikan maklumat.

“Ia amat dialu-alukan bagi membantu Maritim Malaysia dalam membanteras jenayah di laut.

“Oleh itu, untuk sebarang aduan dan maklum balas, orang awam boleh menghubungi terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544,” jelasnya.