ARTIKEL

Asfia (kiri) bercakap dengan Chong (tengah) dan Violet (kanan) yang turut hadir pada Majlis Rumah Terbuka DUN Sarawak di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.

Penyelarasan tempat duduk Soon Koh, Rayong dan Baru Bian dimaklumkan selepas mesyuarat pra-DUN

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penyelarasan tempat duduk tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti akan dimaklumkan selepas mesyuarat pra-DUN iaitu sebelum persidangan DUN berlangsung.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, berkata keputusan berhubung perkara itu belum ditetapkan lagi, meskipun telah dimaklumkan secara rasmi tentang penyertaan ADUN Bawang Assan, Datuk Seri Wong Soon Koh, ADUN Engkilili, Dr Johnical Rayong, dan ADUN Ba’kelalan, Baru Bian, ke dalam Parti Demokratik Progresif (PDP) yang merupakan parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dua hari lepas.

“Pada 12 April lalu pada jam 8.20 pagi, saya menerima surat daripada Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing, bertarikh 9 April 2024, yang memaklumkan kepada saya bahawa Datuk Seri Wong Soon Koh, Johnical Rayong dan Baru Bian telah menyertai PDP dan diterima oleh PDP sebagai ahli komponen GPS.

“PDP meminta saya mempertimbangkan supaya mereka dibawa keluar dari blok pembangkang ke blok kerajaan, namun saya tidak membalas surat tersebut kerana saya baru menerimanya pada 12 April lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka DUN Sarawak di Kompleks DUN Sarawak di sini, hari ini.

Asfia berkata, persidangan DUN Sarawak dijadual berlangsung pada 6 hingga 15 Mei nanti, namun beliau tidak akan membalas surat King Sing yang salinannya turut dikemukakan kepada Premier selaku Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sebaliknya, beliau berkata beliau akan memaklumkan tentang penyelarasan tempat duduk Soon Koh, Rayong dan Baru pada sidang media selepas mesyuarat pra-DUN.

Sementara itu, Asfia berkata tiada keperluan bagi mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) susulan penyertaan Soon Koh, Rayong dan Baru ke dalam PDP kerana ia bukan tindakan lompat parti.

“Mereka telah membubarkan parti, tiada lagi PSB dan mereka tidak melompat dari satu parti ke parti lain.

“Selepas parti dibubarkan, mereka memutuskan untuk menyertai PDP. Jadi mereka tidak perlu kosongkan kerusi, tidak perlu ada PRK,” katanya.

Manakala itu, berhubung kedudukan ADUN Batu Lintang, See Chee How, yang juga merupakan bekas ahli PSB, Asfia berkata beliau kekal sebagai Wakil Rakyat Bebas selepas meninggalkan parti itu pada 2022.

Dengan itu, blok pembangkang di dalam DUN Sarawak kini hanya dibarisi dua ADUN sahaja, iaitu ADUN Padungan, Chong Chieng Jen, dan ADUN Pending, Violet Yong, yang kedua-duanya dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU