KUCHING: Seorang penyelia syarikat di sini kerugian RM212,100 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan pelaburan dalam talian.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, wanita berumur 62 tahun itu telah menerima mesej pada bulan Mei lalu menerusi Whatsapp dari individu yang tidak dikenali berhubung pelaburan dalam talian.
Katanya, suspek yang memperkenalkan diri sebagai Miss Wong telah mengajak mangsa untuk mengikuti pelaburan Bebula DY yang memberi keuntungan sebanyak 20 peratus dalam tempoh 240 saat mengikut jumlah wang yang dilaburkan.
“Tiga hari kemudian, mangsa terima mesej melalui aplikasi Whatsapp dari nombor telefon 011-6439128 yang menawarkan pelaburan Bebula DY kepadanya.
“Mangsa telah bersetuju menyertai pelaburan yang ditawarkan dan telah melakukan sebanyak 11 transaksi pemindahan berjumlah RM212,100 ke tujuh akaun bank yang berbeza antara 11 Jun sehingga 4 Julai 2023 seperti yang diarahkan suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari ditipu setelah beliau gagal mengeluarkan wang pelaburan serta keuntungan melalui sistem pelaburan tersebut setelah mencapai syarat pengeluaran.
Katanya, suspek turut meminta mangsa membuat pembayaran tambahan berjumlah RM54,690 sebagai wang yuran.
Beliau berkata, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis pada semalam untuk siasatan lanjut.