Penyertaan tertinggi

KUCHING: Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2020 menerima penyertaan tertinggi iaitu 540 penyertaan berbanding 320 penyertaan pada tahun lalu.

Pengerusi Panel Hakimnya Datuk Dr. Chamil Wariya berkata, ini kerana peningkatan sebanyak 220 penyertaan atau 40.7 peratus.

“Peningkatan ini dicatatkan dalam empat bahasa iaitu, bahasa Melayu, bahasa Cina, bahasa Inggeris dan bahasa Iban bagi lapan kategori yang dipertandingkan.

“Manakala kategori bahasa Iban mendapat sambutan yang memberangsangkan apabila 71 penyertaan berbanding lima sahaja pada tahun lalu,” katanya dalam video ucapannya pada Majlis Malam Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2020 di sini, semalam.

Kata Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) itu berkata, prestasi membanggakan itu harus dikekalkan malah perlu ditingkatkan pada tahun depan.

“Saya ingin memaklumkan dari segi kualiti, barisan hakim bersetuju menyatakan terdapat peningkatan memberangsangkan dengan penulisan berkualiti berbanding tahun lepas,” katanya.

“Kita juga mencadangkan kepada pengamal media di Sarawak supaya mempelbagaikan sumber penulisan supaya karya kewartawanan yang dihasilkan boleh memberi perspektif yang pelbagai kepada khalayak masing-masing.

“Dengan kata lain, berpaut kepada sumber kerajaan sangat penting. Tetapi pada waktu yang sama, perlu meneroka sumber tidak rasmi untuk memberi gambaran yang menyeluruh terhadap isu dan persoalan yang dibicarakan terutama yang membabitkan kepentingan rakyat,” ujarnya.

Jelasnya, sekiranya ulasan panel hakim dapat dipenuhi maka pertandingan itu berjaya mencapai matlamat tersurat dan tersirat.

Jelasnya, matlamat tersebut untuk memberi pengiktirafan kepada pengamal media, meningkatkan mutu karya kewartawanan yang dihasilkan di Bumi Kenyalang, dan memupuk kewartawanan yang bertanggjungjawab dalam kalangan pengamal media.

“Selain itu, mengekalkan peranan media sebagai pembekal maklumat berguna untuk mewujudkan masyarakat bermaklumat dan berupaya memainkan peranan memeriksa dan mengimbangi kuasa eksekutif, legislatif dan judisiari.

“Oleh sebab itu, hasilkanlah karya yang baik dan bermutu, dengan berpegang kepada prinsip asas kewartawanan yang bertanggungjawab, selain menajamkan kemahiran teras untuk menghasilkan karya yang memuaskan selera orang ramai,” katanya.

Suara Sarawak