
MIRI: Seorang penyewa ditahan kerana melarikan barangan milik tuan rumah di Batu Niah, di sini pada Jumaat.
Malah lelaki tempatan berumur 27 tahun itu juga tidak membayar sewa sehingga RM3,000 dan meninggalkan rumah tersebut tanpa pengetahuan pemiliknya.
Kejadian itu dirungkai apabila pemilik tersebut pergi ke rumahnya pada Selasa untuk mengutip sewa yang belum dibayar.
Setibanya di rumah tersebut kira-kira jam 10 pagi, wanita berumur 73 tahun tersebut terkejut mendapati rumah tersebut telah kosong.
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, suspek bersama-sama rakannya ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Miri kira-kira jam 5.30 petang.
Katanya, tangkapan dibuat susulan laporan polis dibuat oleh pemilik rumah pada Khamis.
“Suspek telah membawa bersamanya empat unit penghawa dingin, empat unit tilam, empat unit almari, tiga unit pembesar suara, seunit sangkar anjing, sebuah peti ais dan empat set bilik tidur.
“Anggaran kerugian dipercayai sekitar RM22,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.