KUCHING: Badan bukan kerajaan (NGO) Kuching Food Aid bergerak lebih 160 kilometer untuk menyantuni 209 Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan Beladin.
Koordinator Kuching Food Aid, Maria Mohd berkata, misi penghantaran bantuan dilakukan setelah mendapat permohonan daripada penduduk.
Justeru, pihaknya terus menghubungi pihak berkuasa tempatan (PBT) Beladin untuk mendapatkan maklumat lanjut dan jumlah KIR yang memerlukan bantuan.
“Kalau ikutkan dalam senarai yang diterima, kumpulan sasaran ialah warga emas, asnaf, ibu tunggal dan keluarga yang berskala besar.
“Mungkin bantuan yang telah diterima semakin berkurangan, jadi kita kiranya memberi bantuan makanan tambahan kepada mereka,” katanya.

Misi penghantaran bantuan bakul makanan melibatkan tiga kampung iaitu Kampung Hilir, Kampung Tengah dan Kampung Hulu Beladin.
Turut membantu melancarkan misi penghantaran ialah ahli Kelab Penyokong Manchester United (MU) Sarawak yang rela menghabiskan masa hujung minggu mereka.
Menurut salah seorang ahli Abdillah Johari, mereka sukarela melibatkan diri dan menawarkan perkhidmatan bantuan tenaga kerja kepada pihak NGO dalam misi bantuan.
Jelasnya lagi, memandangkan musim bola sepak Liga Perdana Inggeris habis, kebanyakan ahli mempunyai masa terluang pada hujung minggu.
“Justeru terima kasih kepada Kuching Food Aid kerana membenarkan kami turut serta dalam menjalankan kerja amal mengagihkan makanan kepada yang memerlukan.
“Kami mempunyai pekerjaan masing-masing, jadi kami tetapkan hari tertentu untuk memberi bantuan sama dalam pengagihan makanan dari Kuching Food Aid mahupun NGO yang lain,” katanya.

Sementara itu, Maria berkata, misi bantuan bertujuan untuk meringankan beban mereka yang memerlukan.
Jelasnya lagi, ia juga bagi menepis tuduhan masyarakat yang menyatakan pihak NGO cuba untuk mengambil alih kerja kebajikan kerajaan.
“Ini semua bergantung dengan niat NGO tersebut.
Sama ada untuk membantu meringankan beban orang awam lebih-lebih lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan.
“Bagi pihak pertubuhan, kita menerima sumbangan daripada orang awam dan syarikat korporat untuk menyampaikan amanah mereka kepada golongan yang memerlukan.
“Jadi tidak mengira parti politik, bangsa dan agama, kita ketepikan perkara itu untuk memberikan bantuan kepada mereka yang benar-benar layak,” ujarnya lagi.
Ditubuhkan sejak November tahun lalu, Kuching Food Aid menyediakan bantuan barangan
kering berbentuk keperluan asas dan telah melibatkan diri dalam misi penghantaran bantuan bakul makanan di Bau, Lundu, Lawas dan Limbang.

Justeru, orang awam dinasihatkan untuk tidak mengambil kesempatan mendapat lebih bantuan daripada pihak NGO.
“Kadang-kadang dalam satu keluarga, tiga orang memohon mendapatkan bantuan.
“Jadi penting untuk kami membuat pemeriksaan awal supaya tiada penipuan berlaku dan barangan dihantar untuk yang memerlukan sahaja,” tegasnya.

Cubaan untuk menipu untuk mendapatkan lebih bantuan akan menganggu bekalan kepada mereka yang betul-betul memerlukan.
Malah kata Maria, fokus bantuan perlu diberikan kepada mereka di luar bandar ataupun yang duduk di kawasan setinggan yang kehilangan sumber pendapatan akibat PKP.
“Kita kadangkala tidak sedar sebenarnya ada lagi pihak yang sangat memerlukan bantuan.
“Mungkin jiran kita sendiri yang memerlukan atau saudara mara yang terputus sumber pendapatan.
Kumpulan seperti ini yang sangat memerlukan bantuan,” katanya.