Trending

Penyu bawa bekalan selesa

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

JURULATIH skuad Penyu (Terengganu), Tomislav Steinbruckner memuji aksi cemerlang yang diperagakan pemain muda pada perlawanan suku akhir pertama saingan Piala Malaysia 2023 yang membenam Selangor FC 2-0 kelmarin.

Steinbruckner berkata pemain muda seperti Muhammad Safwan Mazlan, Engku Muhammad Nur Syakir Engku Yacob dan Muhammad Syahmi Zamri telah mempamerkan peningkatan prestasi yang membanggakan sehingga menyumbang kepada kemenangan pasukan.

Beliau berkata kombinasi pemain senior dan baharu juga berjaya membuahkan hasil serta gandingan tersebut akan memantapkan lagi skuad Penyu untuk menghadapi cabaran perlawanan akan datang, termasuk saingan Piala Konfederasi Asia (AFC) yang bermula 20 Sept ini.

“Saya sangat gembira kerana pemain muda kami bermain semakin baik malam ini. Safwan walaupun dia tidak banyak bermain, bermain dengan baik,” ujarnya.

“Tiada kesilapan besar dan saya rasa kami berhak untuk menang,” katanya selepas perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Selangor FC, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA). 

Terengganu berjaya membawa bekalan dua gol selepas menewaskan Selangor 2-0 untuk perlawanan suku akhir kedua di Shah Alam, Ahad ini.

Sementara itu, pengendali skuad The Red Giants, Tan Cheng Hoe berkata kegagalan pemain mengawal permainan dan melakukan hantaran berkualiti menyebabkan keyakinan pasukan terjejas sekali gus gagal mencipta kemenangan.

Sehubungan itu beliau menggesa pemainnya supaya memperbaiki kelemahan serta kesilapan bagi menghadapi perlawanan di laman sendiri nanti.

“Kekalahan ini menjadi pengajaran besar bagi kita. Pemain perlu mempersiap mental dan fizikal untuk berhadapan Terengganu bagi perlawanan timbal balik,” katanya.

asukan tuan rumah bermula garang apabila melakukan serangan seawal minit ketiga, namun Ivan Mamut gagal memanfaatkan peluang terhidang ketika hanya berdepan penjaga gol pelawat, Samuel Somerville dan beliau terlepas lagi peluang untuk menjaringkan gol pendahuluan pada minit kelima dan ke-24 sekali gus mengecewakan lebih 13,000 penyokong tuan rumah.  

Peluang terbaik skuad The Red Giants hadir pada minit ke-39 menerusi percubaan bola leret Richmond Boakye yang gagal ditangkap kemas Suhaimi Husin dan hampir disambar Faisal Halim, tetapi bola yang muntah itu berjaya dikeluarkan pemain pertahanan tuan rumah.

Bagaimanapun kesilapan pemain pertahanan Selangor FC, Quentin Cheng menjatuhkan Nurillo Tukhtasinov membawa padah apabila pengadil, Fitri Maskon menghadiahkan sepakan penalti kepada TFC yang berjaya disempurnakan Mamut pada masa tambahan babak pertama untuk meletakkan TFC di depan.

Bersambung ke babak kedua, kedua-dua pasukan seakan hilang rentak permainan namun Selangor FC nyaris mengikat kedudukan selepas sepakan Ayron Del Valle pada minit ke-82 menggegar palang.

Pada masa tambahan pemain gantian, Muhamad Syahmi Zamri berjaya menambah jaringan untuk TFC selepas menanduk bola hasil hantaran Nik Shariff Haseefy Mohd Lazim pada masa kecederaan untuk kemenangan 2-0.- Bernama

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru

Konvokesyen Ikmas Ke-19

SEKALUNG tahniah diucapkan kepada 64 graduan Ikmas yang terdiri daripada