Mesir mempunyai sejarah peradaban yang sangat panjang.
Menyingkap garis masa perkembangan tamadun Mesir dipercayai bermula seawal penempatan zaman Neolitik antara 1,000SM hingga 5,000SM.
Namun, peradaban Islam bermula dengan Amru Ash yang meneruskan usaha penyebaran Islam zaman Khalifah Umar Ibn Khattab.
Usaha penyebaran Islam ini juga membebaskan wilayah daripada cengkaman Kaisar Bizantum atau Rom Timur.
Amru berjaya membebaskan Mesir pada 1 Ramadan 21H yakni pada 641 Masihi.
Beliau dilantik sebagai Gabenor Mesir dan mendirikan pusat kekuasaan di Fustat.
Peradaban Islam diteruskan bawah Dinasti Fathimiyyah (969-1771M/ 358-567H), Dinasti Ayyubiah (1171-1250M/ 564-648H), Dinasti Mamalik (1250-1571M/ 648-922H) dan Dinasti Uthmani 1517-1805/ 922-1220H).
Antara 1798-1801M/ 1213-1271H Mesir diserang oleh tentera Perancis pimpinan Napoleon, tetapi dirampas kembali Turki Uthmani pada 1801M dan akhirnya pada 1805M Mesir kuasai dinasti diasaskan Muhammad Ali Pasha.
Terusan Suez
Apabila Terusan Suez dibina pada 1869, Kerajaan Uthmani bersengketa dengan pihak British dan Mesir diambil alih pihak British yang melantik Husayn Kamil sebagai sultan.
Namun, pada 22 Februari 1922, Mesir mencapai kemerdekaan dan kerajaan baharu berdasarkan raja berpelembagaan ditubuhkan.
Kekalahan Mesir dan negara-negara Arab dalam perang melawan Israel pada 1948 mencetuskan Revolusi Mesir dan pada 1953, Mesir menjadi negara Republik dengan Mohammad Naguib diangkat sebagai presiden pertama.
Seterusnya beliau digantikan oleh Gamal Abdul Naseer pada 1954.
Apabila Gamal Abdul Nasser meninggal dunia pada 1970, beliau digantikan Anwar Sadat.
Pada 1984 Sadat dibunuh dan digantikan oleh Hosni Mubarak.
Pada 2011 Hosni Mubarak digulingkan dan pada pilihan raya demokrasi kali pertama pada 2012, Dr Muhammad Mursi dilantik menjadi Presiden Mesir.
Kerajaan Mursi digulingkan oleh rampasan tentera pada 2013 dengan pemerintahan diambil alih oleh Jeneral Abdul Fattah as-Sisi sebagai Presiden sejak Jun 2014 sehingga sekarang.
Mesir pada hari ini sebuah negara republik dengan Presiden bertindak sebagai ketua negara.
Di bawah Perlembagaan Negara Mesir 2014, Parlimen merupakan penggubal undang-undang dan pembuat dasar, merancang ekonomi, sosial, bajet dan lain-lain.
Ia terdiri daripada dua buah dewan iaitu Senat dan Rumah Perwakilan.
Jumlah penduduk Mesir ialah 107,817,915 juta (2023), menjadikan Mesir sebagai negara Arab dengan penduduk teramai dan negara ketiga teramai di Afrika selepas Nigeria dan Habsyah.
SUNGAI NIL
Kebanyakannya mendiami tebing Sungai Nil di kawasan seluas 40,000 kilometer persegi.
Kebanyakannya juga tertumpu di kawasan bandar dan lebih padat di pusat bandar Kaherah, Iskandariah dan bandar lain.
Kawasan Gurun Sahara secara umumnya tidak berpenghuni.
Bahasa rasmi Mesir ialah bahasa Arab, dengan loghat utama masyarakat Mesir – loghat Mesir.
Pendidikan percuma diberikan kepada penduduk Mesir sejak 1950-an. Kadar celik huruf dalam kalangan dewasa ialah 73.9 peratus setakat Julai 2014.
Mesir antara bumi yang menjadi pilihan utama umat Islam untuk diziarahi.
Ia kaya dengan sejarah dan legasi peradaban Islam terutama pada pemerintahan khalifah khususnya sejak abad ketujuh ketika panglima Amru Ibnu Ash diperintahkan Khalifah Umar Ibnu Khattab RA memasuki Mesir.
PERADABAN
Peradaban Islam diteruskan pada zaman bani Umaiyah, bani Abbasiyah, dinasti Thuluniah, dinasti Ikhsyid, dinasti Fatimiyah, dinasti Ayubiyah, dinasti Mamluk dan Turki Uthmaniyah.
Di bawah pemerintahan Islam, Mesir mengecapi kegemilangan dan kemakmuran dari aspek pusat intelektual dan ilmiah, pusat perdagangan, pembangunan Masjid, pertanian dan lain-lain.
Malah, kunjungan ke Mesir pasti membuka minda dan pengalaman apabila kita berkunjung ke tempat bersejarah para Nabi seperti Bukit Sinai yang menjadi tempat Nabi Musa AS bermunajat kepada Allah SWT.
Begitu juga Laut Merah yang pernah dibelah baginda.
Juga Uyun Musa iaitu salah satu daripada 12 perigi di selatan Sinai.
Tidak kurang juga sejarah peninggalan Nabi Yusuf AS di Kota Fayyum seperti kincir air.
Di Fayyum juga kita dapat melihat Tasik Qarun serta sebahagian runtuhan Kota Qarun.