BINTANGOR : Kehadiran ratusan perahu panjang berukuran 9.5 meter dilengkapi enjin 15 hingga 40 kuasa kuda yang membawa pulang penumpang untuk menyambut Gawai memeriahkan suasana pangkalan jeti bot Bintangor.
Perahu panjang berwarna warni itu datangnya dari beberapa buah rumah panjang kawasan pesisir seperti Selidap, Mupong, Semareng, Penasu, Teluk Batu, Mupong Ulin dan Lebaan.
Lebih mengkagumkan apabila pengemudinya bukan sahaja lelaki tetapi juga wanita yang berpengalaman dan tahu selok belok sungai Rajang.
Menurut salah seorang pemandunya, Haledy Mun, 45, kesemua perahu itu adalah milik persendirian dan menjadi pengangkutan utama penduduk rumah panjang yang belum mempunyai jalan raya.
“Kami guna perahu ini hampir setiap hari untuk mendapatkan barangan keperluan di bandar Bintangor dan Sarikei. Perjalanan mengambil masa sejam hingga dua jam bergantung pada keadaan air.
“Lazimnya, kami tiba di pangkalan jeti pada waktu pagi dan berangkat pulang ke kampung halaman masing-masing sebaik sahaja dipenuhi penumpang sebelum tengah hari,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.
Halidi berkata, setiap perahu membawa empat hingga sembilan orang penumpang termasuk pengemudi dan pembantunya.
Berbeza dengan bot ekspres katanya, mereka tidak menetapkan kadar tambang tertentu untuk setiap perjalanan kerana bergantung kepada budi bicara antara penumpang dan pemilik perahu tersebut.
“Menjelang Gawai pula, kami bertolak lebih awal dari kampung dan berkumpul di pangkalan jeti Bintangor untuk menunggu kedatangan keluarga dari jauh. Soal tambang saya tidak kisah sangat, adakalanya kami kumpul duit ramai-ramai beli petrol,” katanya.
Dalam pada itu, Micheal Julai, 40, dari Semareng berkata, biarpun gembira menyambut gawai namun aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan terutama oleh pengendali perahu berkenaan.
Sehubungan itu katanya, seorang pemandu bot panjang mesti pandai berenang di samping mempunyai kekuatan tangan untuk mengawal enjin.
“Selain pengemudi, orang di depan perahu juga sangat penting terutama pada waktu malam. Sekiranya ada tunggul kayu atau sebarang halangan di hadapan, dia perlu memberitahu pengemudi di belakang supaya tindakan seterusnya dapat dilakukan.
“Ini amat mustahak bagi mengelak perahu pecah atau kerosakan enjin akibat merempuh benda keras,” ujarnya.