ARTIKEL

Peranan AKRAB fahamkan penjawat awam realisasikan agenda negara madani

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu ahli dalam Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) memainkan peranan memberi pencerahan dan kefahaman kepada rakan penjawat awam berkaitan dasar dan program kerajaan supaya agenda negara MADANI dapat direalisasikan.

Beliau berkata, ahli AKRAB juga memainkan peranan sebagai benteng yang dapat menghalang golongan kecil dalam kalangan penjawat awam dari terus merosakkan seluruh agenda kerajaan.

“Paling penting bila pegang amanah mesti jaga khazanah negara ini jangan ambil dan sakau, kerana bila ambil peruntukan semua terjejas. Kita halang itu dulu. 

“Peranan AKRAB untuk pastikan menjadi pemantau, mata dan telinga supaya dapat kita tingkatkan martabat (negara),” katanya dalam sesi Dialog bersama AKRAB pada Majlis Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di sini hari ini, yang dihadiri kira-kira 10,000 peserta.

Terdahulu beberapa penjawat awam bertanyakan soalan kepada Anwar apakah nilai yang menjadi pegangan beliau dan meminta beliau berkongsikan ia untuk dijadikan pedoman oleh penjawat awam dalam melaksanakan tanggungjawab.

Terdahulu Anwar menyampaikan watikah pelantikan kepada Presiden Majlis AKRAB Kebangsaan (MAK) Mohd Afendi bin Ya @ Zakaria sebagai simbolik mewakili seluruh ahli AKRAB bertauliah, serta melancarkan AKRAB sebagai Ejen Penggerak Perubahan Perkhidmatan Awam dalam memastikan dasar Kerajaan MADANI dapat terus dilaksanakan dengan baik dan cemerlang.

Sejak penubuhan AKRAB hampir dua dekad lepas 22,379 orang telah diberi pentauliahan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, yang berperanan sebagai ejen penggerak perubahan kerajaan dan bertanggungjawab ‘membentuk rakan yang membantu rakan’ dalam memupuk semangat berpasukan, keharmonian dan saling menghormati.

Bertemakan ‘H.E.M.A.T: Menyantuni Hasrat, Membina Citra’, himpunan AKRAB kali ini berfokuskan kepada membudayakan tiga prinsip dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pegawai awam iaitu memudahkan urusan pemegang taruh dan pelanggan; menyesuaikan cara kerja selari dengan agenda kerajaan; menyegerakan pelaksanaan segala keputusan kerajaan, selaras dengan nilai H.E.M.A.T. iaitu Hijrah, Tata Kelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Telus Tadbiran. – Bernama

BERITA LAIN

BERITA TERBARU