Peranan NGO Islam diperkasa

SARIKEI:  Seramai 30 peserta menyertai Kursus Pengurusan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam peringkat bahagian Sarikei, di Pejabat Agama Islam Sarikei, hari ini.

Pengerusi penganjurnya, Shahmen Abdullah berkata, kesemua mewakili beberapa NGO Islam dari sekitar Sarikei iaitu Pertubuhan Kebajikan Islam Sarikei (PERKIM), Persatuan Cina Muslim (MACMA), Persatuan Kebajikan Tiong Hua Islam Sarawak (PERKTHIS) cawangan Sarikei dan Persatuan Ibu Tunggal Sarikei.

Katanya, program selama dua hari itu dianjurkan Urus Setia Saudara Kita Bahagian Sarikei dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Bahagian Sarikei.

“Sepanjang kursus peserta didedahkan dengan beberapa modul penting antaranya peranan pemegang jawatan dalam pertubuhan, pengurusan surat menyurat, sistem fail dan rekod, pengurusan mesyuarat dan penyediaan minit dan pengurusan kewangan,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Majlis perasmian program disempurnakan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.

Peserta mengabadikan kenangan beramai-ramai sejurus tamat program.

Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang diwakili oleh Ahmat Adai.

Beliau berkata, penganjuran program bertujuan membolehkan NGO Islam  berfungsi dengan lebih berkesan di samping meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap pertubuhan berkenaan.

Selain itu katanya, ia juga bermatlamat melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis cekap dan berkeupayaan dalam memimpin dan mengurus persatuan.

“Melalui program ini, peserta berpeluang memahami tugas dan tanggungjawab dalam memimpin pertubuhan,  prinsip pengurusan pentadbiran dan kewangan pertubuhan dengan baik.

“Program ini juga bermatlamat menyemai semangat kerjasama dalam kalangan ahli pertubuhan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Len Talif Salleh yang menghulurkan sumbangan RM5,000 kepada Urusetia Saudara Kita,” ujarnya.

Hadir sama, Pegawai Jais Sarikei, Syed Harold Salleh Wan Mohammad.

Ahmat menyampaikan sijil kepada peserta.

 

Antara peserta yang mengambil bahagian.

Suara Sarawak