Perang PRU-15 bermula

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

HUJAN turun mencurah-curah bersama air pasang besar sejak akhir-akhir ini menyebabkan beberapa kawasan rendah di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak digenangi air.

Malah kawasan yang tidak pernah banjir sebelum ini, turut bernasib malang.

Menurut orang tua-tua, ia petanda awal, bahawa beberapa lagi banjir akan menyusul selepas ini, mungkin lebih besar, bermula sekitar November hingga awal Februari tahun depan.

Namun ia tidak menghalang kerajaan pemerintah yang diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat keputusan muktamad, membubarkan Parlimen setelah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ia diumumkan sekitar jam 3.00 petang kelmarin, tiga hari selepas pembentangan Bajet 2023, untuk memberi laluan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Keputusan yang kurang memuaskan hati beberapa pihak itu, tidaklah mengejutkan, kerana ia adalah jangkaan dan ramalan sebelum ini, sejak awal tahun lagi.

Mungkin ia agak membimbangkan, kerana secara kebetulan, loceng amaran banjir telah pun dibunyikan, pada awal September lalu.

Yang pasti, banjir bakal menjadi isu penting pihak pembangkang sepanjang kempen nanti, sebagai salah satu senjata untuk memburuk-burukkan Umno dan barisannya.

Hakikatnya, kepemimpinan Umno, terutama ‘Top 5’ telah pun memperincikan segala-galanya sebelum membuat keputusan kurang popular ini.

Seperti yang dijelaskan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa PRU-15 akan diadakan sebelum musim banjir.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan laporan terkini Jabatan Meteorologi Malaysia, (METMalaysia).

“Pada 30 September apabila Majlis Kerja Tertinggi (MKT) telah membuat keputusan supaya PRU15 diadakan pada tahun ini.

Baca lain  Kempen keselamatan jadi rutin perayaan

Kami telah meneliti laporan daripada Ketua Pengarah METMalaysia dan Insya-Allah pilihan raya akan dibuat sebelum banjir,” ujar Zahid.

Pembangkang dan sekutu mengambil peluang ini untuk menolak pilihan raya diadakan tahun ini dengan menggunakan alasan banjir, namun pada masa yang sama mereka juga berkempen politik ke sana sini.

Malah Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli turut melancarkan petisyen membantah PRU-15 pada musim tengkujuh.

Hakikatnya, mereka masih berpecah dan belum bersedia.

Namun sukar untuk kita meramal, bahawa hari mengundi akan jatuh pada musim hujan lebat atau banjir besar.

Segalanya adalah serba mungkin.

Dalam aspek cuaca, kita hanya mampu meramal, tetapi Allah SWT yang akan menentukan.

Malah baru-baru ini, Yang diPertuan Agong mengunjungi pusat kaji cuaca, untuk mengetahui lanjut tentang keadaan dan ramalan cuaca sepanjang tempoh tengkujuh.

Sebagai ‘payung negara’ yang sentiasa prihatin dengan kebajikan rakyat, baginda pastinya bijak dalam membuat keputusan, mempertimbang segala kepentingan dan keperluan rakyat sekarang ini, yang kebanyakannya bergelut sepanjang era Covid-19 pada 2020 hingga 2021, dan kemudiannya menghadapi inflasi dan tempias krisis ekonomi dunia.

Segala syor Ismail Sabri pasti diperinci dengan penuh teliti, untuk membenarkan PRU-15 dalam masa terdekat, ketika sebahagian besar rakyat baru bangun daripada hambatan ekonomi dan wabak.

Adalah sesuatu yang kurang bijak, jika keputusan hanya mementingkan pihak tertentu, sedangkan pilihan raya ialah tentang rakyat, suara rakyat dan kuasa rakyat, terutama golongan B40 dan M40.

Bagaimana mereka membuat keputusan pada hari pengundian, dalam keadaan jalan raya tenggelam, melimpah hingga bilik tidur, dengan ternakan hanyut, dan semua tanaman ‘menyelam’.

Baca lain  Berkorban dan berganding bahu

Kelmarin MetMalaysia turut meramalkan ribut petir dan hujan lebat di beberapa kebanyakan kawasan beberapa negeri di Semenanjung sepanjang minggu ini.

Malah Sarawak dan Sabah turut terjejas. Ia dijangka berterusan dari semasa ke semasa hingga awal Februari tahun depan. Atas dasar demokrasi berparlimen, dan demi kelangsungan politik, ia perlu diadakan tahun ini juga dan yang lebih penting demi negara yang memerlukan kepemimpinan stabil dalam mengharungi hala tuju, misi dan visi.

Dengan adanya mandat daripada rakyat, maka segala agenda, perancangan dan program pembangunan dapat dipercepat dan diteruskan dengan lebih lancar.

Bagi Umno, mereka tidak akan melepaskan peluang berlalu pergi, tidak rela PRU-15 ditangguh hingga tahun depan.

Lagi pula momentum kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini harus diteruskan, ke gelanggang yang lebih besar.

Ia membuktikan rakyat memilih kestabilan politik dan tadbir urus yang baik, setelah tidak rela, pemerintahan Pakatan Harapan (PH) 22 bulan berulang.

Lagi pula PRU-15 akan diadakan secara normal, bukan lagi dalam keadaan negara ‘berkurung’ ketika pandemik Covid-19 masih meledak, sebagaimana pada beberapa PRN yang lalu, di Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor, yang membataskan aktiviti kempen kerana berlandaskan segala prosedur operasi standard (SOP).

Bagi parti dan calon yang bertanding, sekarang bukan lagi masa untuk bertelagah tentang tarikh tidak sesuai, atau isu banjir besar, tetapi berusahalah sedaya upaya untuk membentuk identiti dan personaliti bagi menarik pengundi, khususnya pengundi di atas pagar.

Baca lain  Nak bawa MA63 ke mahkamah?

Debaran mula terasa, bagi setiap calon, lebih-lebih lagi muka baharu, kerana ia pengalaman pertama, yang bakal mengubah rutin harian sehingga 360 darjah selepas ini sekiranya mereka berjaya memenangi hati pengundi di kawasan masing-masing.

Yang pasti, ‘perang PRU-15’ telah pun bermula. Ia agak luar biasa, diadakan pada penghujung tahun, tempoh yang sepatutnya untuk berehat atau bersantai bersama-sama keluarga, sanak saudara dan rakan taulan bagi menghabiskan sisa tahun 2022.

Kestabilan kepemimpinan melalui proses demokrasi amat penting dalam membentuk keyakinan mahupun kekuatan, sekali gus mewujudkan polisi dan perancangan yang lebih rapi, jelas, betul dan tepat untuk rakyat.

Realitinya, PRU-15 amat dinantikan ini adalah ‘ibu segala PRU’, paling mencabar dalam sejarah pilihan raya Malaysia, selepas PRU-18 yang mewujudkan tiga Perdana Menteri dalam tempoh empat tahun.

Dalam keadaan landskap politik kurang stabil, apa-apa pun keputusan boleh berlaku, tiada lagi dominasi seperti sebelumnya.

Malah Sarawak dan Sabah akan menjadi ‘penentu’ langkah pemimpin yang akan ke Putrajaya.

Yang pasti, 6.3 juta rakyat berpeluang menjadi pemilih pada PRU-15 dengan membabitkan 1.2 juta remaja berusia 18 hingga 21 tahun, selain 4.4 juta lagi individu berumur 21 tahun ke atas.

Dijangkakan sekitar 7.8 juta pengundi baharu akan bertambah kepada 14 juta.

Dengan kemungkinan mencecah 21.8 juta pengundi, ia mampu menentukan keputusan PRU-15.

Persoalannya berapa paratuskah yang akan keluar mengundi?

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Bijak hidu peluang

SABAN tahun ribuan pelajar di seluruh Malaysia mendapat keputusan cemerlang

Rumah idaman

RUMAH bukan sekadar keperluan asas untuk berteduh, berlindung dan menenangkan

Tangani obesiti

PASTI ada yang terkial-kial melakukan urusan pejabat, pada hari pertama

Lain-lain

Bijak hidu peluang

SABAN tahun ribuan pelajar di seluruh Malaysia mendapat keputusan cemerlang