Perangi dadah dari usia muda

KUCHING: Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) komited dalam memerangi isu dadah dalam kalangan pelajar sekolah menerusi program yang dilaksanakan.

Pengarah JPNS, Dr. Norisah Suhaili berkata, pendekatan yang digunakan ialah menerusi program yang dibuat secara bersasar, rawak, berkala dan banyak lagi.

“Kita laksanakan program mengikuti kesesuaian terutama sekali ketika pandemik Covid-19 kerana kita perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Kolaborasi Antarabangsa Webinar Antarabangsa: Pendidikan Pencegahan Dadah “Solidariti Memerangi Dadah – Kaedah dan Pelaksanaan Negara Serantau” yang disiarkan dalam Facebook Unit Psikologi dan Kerjaya Kolej Vokasional Betong baru-baru ini.

Menurutnya, antara perancangan tahun ini ialah saringan ujian urin, Bengkel Pengurusan Pendidikan Pencegahan Dadah (PPda) dan Great Teacher Orgazisation.

“Mesej yang hendak kita sampaikan sama iaitu tentang pendidikan antidadah. “Manakala, di bawah Program Institusi Pendidikan Bebas DadahAgensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi murid yang berisiko, kita laksanakan Program Intelek Asuhan Rohani (Pintar 2.0) dengan menyasarkan murid yang berusia 10 hingga 12 tahun.

“Bagi mengelakkan mereka daripada terus terjebak dengan dadah pula, kita laksanakan program Sayangi Hidup Elak Derita Selamanya (Shields). “Kita rancang program sedemikian untuk menyelamatkan anak-anak ini daripada terus menjadi mangsa dadah,” jelasnya.

“Bagi saya, tidak kira siapa pun kita sama ada ibu bapa, guru, masyarakat dan sebagainya kita perlu bersama-sama menghindari dadah serta menyedarkan anakanak muda tentang bahayanya pengaruh dadah sejak usia muda lagi,” tegasnya.

Dr. Norisah memaklumkan selain daripada program tersebut, Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan juga memandang serius isu dadah dengan mewujudkan jawatankuasa dan sebagainya.

Oleh itu, katanya, penganjuran webinar ini ialah inisiatif dan peluang yang terbaik dalam usaha menyampaikan maklumat tentang pendidikan pencegahan dadah dalam kalangan pelajar sekolah amnya dan seluruh lapisan masyakat khasnya.

Webinar tersebut melibatkan panel-panel berpengalaman dari luar negara iaitu Indonesia dan Brunei, pertukaran ilmu dan pengalaman dari negaranegara berkenaan diharapkan dapat dipelajari dan dipraktikkan di Malaysia terutama dalam skop kaedah serta pelaksanaan pendidikan pencegahan dadah.

Suara Sarawak