ARTIKEL

Ricky Sani

PERANTIS sokong cadangan penubuhan dan pemindahan pusat pengajian Bahasa Iban

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING : Persatuan Intelektual Pribumi Sarawak (PERANTIS) menyokong sepenuhnya cadangan penubuhan dan pemindahan pusat pengajian Bahasa Iban ke universiti DI negeri ini, terutamanya Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Dalam satu kenyataan bersama, Timbalan Presiden PERANTIS, Ricky Sani, dan Naib Presiden PERANTIS, Nelly Tawai, menyebut bahawa langkah itu mampu mengatasi isu kekurangan pensyarah Bahasa Iban yang sangat kritikal di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Malah ujarnya, cadangan Kerajaan Sarawak untuk menubuhkan kursus Bahasa Iban yang dilaksanakan di mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) sangat bertepatan.

“Ramai guru Bahasa Iban yang layak memohon untuk menjadi pensyarah tetapi kerana lokasi yang jauh dan kekangan keluarga, mereka terpaksa membatalkan niat untuk berkhidmat di sana (UPSI).

“Kami amat berharap agar pengambilan dan penawaran program Bahasa Iban di institusi-institusi tersebut diteruskan setiap tahun, bagi menampung keperluan guru-guru Bahasa Iban yang masih belum mencukupi.

“Tahniah dan terima kasih kepada Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, atas usaha dan keprihatinannya untuk menyelesaikan kemelut kekurangan guru Bahasa Iban yang kritikal dan tidak berkesudahan selama ini, ” tegas mereka dalam kenyataan itu, hari ini.

Menurut kenyataan bersama itu lagi, tanpa Sarawak dan Sabah, tidak ada Malaysia, dan ia bermaksud kedudukan Sarawak dan Sabah adalah unik dalam Kerajaan Persekutuan kerana kedua-dua wilayah membantu dalam pembentukan Malaysia.

Pemimpin terdahulu yang menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata mereka, adalah dengan niat yang baik (in good faith) dan percaya bahawa mereka menyumbang kepada pembangunan negara apabila memberikan persetujuan dalam semangat perkongsian kemakmuran bersama.

“Sarawak dan Sabah juga harus menuntut komposisi satu pertiga kerusi Sarawak dan Sabah di Dewan Rakyat, seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Tuntutan itu wajar bagi mengembalikan hak berkenaan yang terhakis sejak Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965.

“Ini adalah perlindungan yang telah dipersetujui sejak dalam rundingan penubuhan Malaysia lagi,” katanya.

Kenyataan itu juga menyebut, ia merupakan komposisi yang telah termaktub di dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang menyatakan bahawa sebelum Singapura keluar dari Malaysia, komposisi kita sepatutnya satu pertiga dalam Parlimen.

Tambahnya, semangat toleransi diperkukuhkan dan semua rakyat dapat bekerjasama untuk mengangkat semula Wilayah Sarawak agar menjadi sebuah wilayah yang digeruni dalam Persekutuan Malaysia.

“Kita ingin merumuskan dengan harapan agar perayaan Hari Gawai Tahun 2024 diadakan dalam semangat yang tinggi untuk memperkasakan semula suatu budaya yang hebat dan kental.

“Juga kepada semua yang akan pulang ke rumah dan kampung halaman masing-masing, dan juga mereka yang menyertai kami dalam PERANTIS untuk merealisasikan sebuah wilayah yang adil buat semua rakyatnya, kita doakan semoga anda semua selamat dalam perjalanan menuju destinasi,” katanya.

Nelly Tawai

BERITA LAIN

BERITA TERBARU