KUCHING: Kerajaan Sarawak komited untuk mewujudkan taman eko berprinsip ‘tanam dan jaga’ di setiap kawasan perumahan bahagian Samariang bagi kelestarian persekitaran dan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yakin pendekatan ditekankan prinsip taman eko mampu menjadikan kawasan perumahan bersih di samping masyarakat peka terhadap sistem pemuliharaan persekitaran hijau.
“Taman eko sebenarnya amat baik kepada rakyat dan ia merupakan projek mencantikkan alam sekitar dan sosial.

“Dengan adanya taman eko ini, semua masyarakat dapat mencipta sesuatu tempat untuk meluangkan masa lapang, bersuka ria dan berjumpa sesama komuniti.
“Untuk itu, projek sebegini akan diteruskan dan dilaksanakan di kawasan-kawasan lain di bahagian Samariang khususnya kawasan perumahan agar kita dapat jalin kerjasama bersama komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Tatai Kumang Eco Park di Petra Jaya, di sini, hari ini.
Sharifah berkata, Tatai Kumang Eco Park merupakan taman yang pertama diwujudkan di kawasan tersebut hasil kolaborasi kerjasama tujuh agensi berkaitan.
Tatai Kumang membawa maksud tempat yang indah untuk orang yang cantik, sinonim dengan usaha menghijaukan persekitaran dengan mewujudkan taman eko untuk tatapan masyarakat di sana.
Taman berkeluasan 0.89 ekar yang pada mulanya merupakan tanah kosong telah dipenuhi sebanyak 46 jenis pokok yang ditanam oleh komuniti meliputi pokok jenis dabai, manggis, rambutan, mangga, Nanga, ciku dan kristal.