Perbezaan agama satu kekuatan

LIMBANG: Uniknya Sarawak, masyarakat Islam dan Kristian hidup dalam suasana harmoni dan saling bertolak ansur dalam satu rumah panjang, kata Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah.

“Tidak hairan jika di rumah panjang umpamanya, kita dapat melihat adanya penganut agama berbeza-beza tinggal bersama-sama,” katanya.

Namun demikian ujarnya, tidak pernah lagi timbul isu dan masalah melibatkan keagamaan meskipun mereka hidup di bawah bumbung yang sama.

“Inilah uniknya kita di Sarawak. Perbezaan agama bukan menjadi penghalang untuk kita saling hormat-menghormati serta sayang menyanyangi antara satu sama yang lain.

“Budaya ini bukalah sesuatu yang baharu, namun sudah terjalin sejak dari nenek moyang kita lagi,” katanya semasa Program Bedudun Kasih Kenyalang Bersama-sama Penduduk Rumah Panjang Lubai, Limbang.

Hasbi berkata, budaya saling hormat-menghormati itu perlu dikekalkan.

“Jangan sesekali terpengaruh dengan anasir jahat yang ingin merosakkan hubungan baik yang kita ada sekarang,” tegasnya.

Menurutnya, menjaga hubungan baik itu bukan sahaja dalam masyarakat, malah dalam sekeluarga juga mempunyai agama yang berbeza.

“Kita selama ini sudah hidup dalam keadaan yang harmoni. Tidakkan sekejap sahaja orang luar datang menghasut kita jadi berpecah?

“Oleh itu, kita harus sentiasa waspada dengan kumpulan yang tidak bertanggungjawab ini, kerana tujuannya hanya untuk melihat kita berpecah-belah.

“Tolak semua budaya pelampau agama yang membawa kepada persengketaan antara agama,” tegasnya.

Hasbi menambah, masyarakat harus bijak menilai dan menerima sesuatu maklumat dengan memastikan sama ada ia sahih ataupun tidak.

“Khususnya kepada anak-anak muda, maklumat yang kita terima sebaiknya jangan diterima bulat-bulat tetapi dikaji terlebih dahulu.

“Kalau tidak faham bertanya, kalau tidak tahu belajar.

“Kalau kita terima terus tanpa usul periksa dan, kemudiannya menyebarkannya dalam keadaan beremosi, ia tidak akan memberi faedah,” jelasnya.

Majlis turut dihadiri Ketua Bahagian Tabung Baitulmal Sarawak Syukri Samor, Ketua Tabung Baitulmal Bahagian Limbang Junidi Lamat, Pegawai Hal Ehwal Islam Pejabat Agama Islam Cawangan Limbang Mohd Zarin Bolhasan, Pegawai Hikmah Cawangan Limbang Ubaidullah Ahmad dan wakil Urusetia Saudara Kita Daerah Limbang Mohamad Hidayat Abdullah.

Suara Sarawak