ARTIKEL

Perbezaan bukan penghalang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HARI Malaysia bukan sekadar tarikh dalam kalendar atau cuti umum, sebaliknya menjadi peringatan mendalam bahawa kepelbagaian bukanlah penghalang untuk hidup bersatu padu.

Bagi penyampai radio CATS FM, Nur Damia Cassandra Manja, 40, atau lebih dikenali sebagai Mia Manja, tugas di konti radio memberikan kelebihan unik untuk menyelami kepelbagaian watak dan latar belakang masyarakat setiap hari.

Berkelulusan Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan (Kepujian) dari Universiti Terbuka Malaysia (OUM), wanita yang murah dengan senyuman ini melihat tugasnya bukan sekadar memutar lagu atau menghiburkan pendengar, sebaliknya sebagai jambatan yang menghubungkan hati seluruh rakyat Malaysia.

Kuasa hubungan antara manusia

Menurut Mia, tugasan harian sebagai penyampai radio membuka ruang interaksi tanpa batas dengan pendengar dari pelbagai negeri, budaya dan latar belakang.

“Setiap hari saya berpeluang bercakap dengan pendengar.

Kadang-kadang kita berbeza dialek atau makanan kegemaran, tetapi apabila mula bersembang, berkongsi cerita dan ketawa bersama, kita sedar bahawa kita sebenarnya tidak jauh berbeza.

“Perbezaan itu tidak bermaksud kita perlu terpisah. Kita boleh berbeza, tetapi tetap satu Malaysia,” katanya ketika berkongsi pandangan mengenai makna Hari Malaysia kepada Suara Sarawak.

Tambah anak jati Kuching itu, peranan sebagai penyampai radio terasa amat bermakna apabila pendengar mula berkongsi kisah peribadi, daripada mereka yang bekerja jauh daripada keluarga hinggalah individu yang baru berpindah dan berusaha menyesuaikan diri di tempat baharu.

“Secara luaran, peranan kami mungkin kelihatan kecil, iaitu sekadar menemani perjalanan pendengar.

Namun, apabila mendengar cerita mereka, saya sedar medium ini mempunyai kuasa yang sangat indah untuk menyatukan insan,” jelasnya.

Keharmonian Sarawak contoh terbaik

Menyentuh keharmonian di Sarawak, Mia meluahkan rasa bangga terhadap semangat kekitaan yang terjalin erat dalam kalangan masyarakat berbilang etnik di negeri ini.

“Saya paling bangga melihat cara masyarakat Sarawak hidup.

Kita mempunyai pelbagai kaum, bahasa dan kepercayaan, tetapi kita boleh duduk semeja, makan bersama dan meraikan perayaan satu sama lain dengan penuh rasa hormat.

“Semangat inilah yang sentiasa saya banggakan dan ingin dikongsi dengan seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Peranan anak muda, media sosial

Dalam pada itu, Mia turut menyuntik semangat kepada golongan muda untuk memanfaatkan platform media sosial secara positif demi memperkukuh perpaduan.

Beliau menggalakkan generasi muda meluaskan pengalaman hidup dengan mengembara dan menjelajah ke seluruh pelosok negara.

“Anak muda hari ini mempunyai kelebihan besar, iaitu media sosial.

Gunakan peluang yang ada untuk mengembara, datang ke Sarawak, pergi ke Sabah dan terokai Semenanjung. Berkawanlah dengan orang daripada latar belakang yang berbeza.

“Apabila kita benar-benar mengenali seseorang, kita akan sedar bahawa banyak perkara yang sebenarnya kita kongsi bersama.

“Jangan jadikan perbezaan sebagai alasan untuk berbalah, sebaliknya raikanlah perbezaan itu. Kita tidak perlu menjadi sama untuk hidup bersama,” jelasnya lagi.

Mengakhiri perkongsiannya,

Mia menitipkan satu mesej ringkas tetapi padat untuk renungan bersama.

“Kita mungkin berbeza negeri, budaya, bahasa dan makanan kegemaran, tetapi kita semua berkongsi satu rumah yang sama, iaitu Malaysia,” katanya.

BERITA LAIN

ANZALNA NASIR titip doa buat AMIRA

Pelakon Anzalna Nasir turut menitipkan ucapan istimewa sempena ulang tahun kelahiran rakan baiknya, pelakon dan penyanyi Amira Othman. Menerusi perkongsian di Instagram Stories, Anzalna meluahkan

BERITA TERBARU

Golf Senior Pacu Pelancongan Sarawak

Kejohanan Golf Amatur Senior Antarabangsa Sarawak (SISAGC) 2026 bakal kembali tahun depan selepas edisi sulungnya berjaya menghimpunkan 156 pemain dari enam negara, sekali gus membuka