Perbezaan diraikan dengan adil

KUCHING: Sambutan Krismas diharap akan membawa keharmonian, kebahagiaan dan harapan kepada seluruh rakyat.

Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang berkata, perayaan merupakan antara waktu yang sesuai diluangkan bersama-sama keluarga setelah dibebankan dengan tugas harian sepanjang waktu bekerja.

“Kasih sayang dan kesepaduan inilah yang harus dipupuk dalam konteks masyarakat melangkaui bangsa, agama dan kepercayaan.

“Indahnya sebuah peradaban manusia ialah apabila perbezaan diraikan dengan adil, hormat dan penuh persefahaman,” ujar Jugah menerusi satu kenyataan semalam.

Menurutnya, masyarakat perlu mengunjungi dan merapatkan persahabatan antara satu sama lain sepanjang Krismas.

Katanya melalui aktiviti itu, masyarakat bukan sahaja mudah untuk memahami perbezaan, malah secara tidak langsung perpaduan kaum turut terjalin dalam suasana aman dan damai.

Jugah berharap setiap kemajuan dan peningkatan kualiti hidup rakyat dilaksanakan secara inklusif agar tetap melestarikan dan mengamalkan nilai positif yang terkandung dalam setiap kepercayaan dan agama.

Justeru itu katanya, ketua masyarakat harus mempunyai tanggungjawab moral untuk berusaha menyejahterakan rakyat dari sudut ekonomi, dan berusaha membawa tahap kemajuan infrastruktur di Lubok Antu setanding dengan perkembangan daerah lain.

“Kita akan terus memastikan ekonomi, kestabilan politik dan kemakmuran sosial di kawasan Parlimen Lubok Antu terus dipelihara pada masa depan.

“Matlamat ini akan tercapai. Semangat toleransi terus diperkukuh dan semua rakyat mesti bekerjasama untuk mengangkat semula daerah Lubok Antu ke tahap yang lebih baik,” tambahnya lagi