Percayakah dengan Adun yang sudah lompat parti?

SERIAN: Rakyat Sri Aman yang mengundi Datuk Masir Kujat atas tiket PRS berasa ditipu selepas Ahli Parlimen itu kini menyertai PSB.

Menurut Presiden PRS Tan Sri James Jemut Masing, selepas memenangi PRU-14, wakil rakyat GPS menerima peruntukan geran MRP dan RTP berjumah RM7 juta setahun.

“Jadi, dalam masa lima tahun, geran yang diterima Ahli Parlimen Sri Aman sebanyak RM35 juta untuk pengundi di kawasannya, bukan untuk dirinya.

“Apabila beliau keluar daripada PRS dan menyertai PSB, bermakna beliau membawa peruntukan itu bersama sedangkan ia untuk projek kerajaan di Sri Aman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Solidariti GPS Balai Ringin di Dewan Chung Hua di sini, malam semalam.

James Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri menambah, tindakan Masir membuatkan pengundinya berasa ditipu.

“Jika Masir dipilih untuk Dun Balai Ringin pada PRN nanti, ia adalah salah pengundi Sri Aman,” tegasnya.

Ditanya mengenai keputusan PSB untuk bertanding di semua kawasan Dun Sarawak, James Masing memberitahu, ia tidak mengejutkan kerana matlamat parti berkenaan adalah untuk mengambil alih kerajaan.

“PSB perlu menang majoriti dan untuk tujuan itu, mereka perlu bertanding di semua kawasan Dun.

“Bagaimanapun, kita berharap agar rakyat Sarawak membuat keputusan bijak terutamanya dalam menilai perjuangan GPS,”ujarnya.

Katanya lagi, hala tuju GPS amat jelas iaitu memperjuangkan hak Sarawak berdasarkan Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963.

Kira-kira 2,000 orang hadir pada majlis tersebut.

Turut hadir Menteri Muda Belia dan Sukan yang juga Adun Balai Ringin Datuk Snowdan Lawan; Setiausaha Agung Parti PBB Datuk Alexander Nanta Linggi; Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang dan Adun Tasik Biru Datuk Henry
Harry Jinep.

Suara Sarawak