Percayakan bomoh, anak jadi mangsa perkosaan

KAPIT: Akibat terlalu percaya alam mistik serta mendakwa anaknya diganggu hantu tempayan, seorang wanita akhirnya terduduk kecewa selepas anak gadisnya bawah umur diperkosakan bomoh lelaki yang dipercayainya membantu menghindari gangguan hantu terbabit.

Kejadian dipercayai berlaku di sebuah anak sungai di Batang Baleh di sini.

Ketua Polis Daerah Kapit DSP Freddy Bian Stanislaus Bian ketika mengesahkan kejadian ketika dihubungi sebentar tadi berkata, ekoran itu suspek berusia 34 tahun ditahan selepas menerima satu laporan polis berhubung kejadian pada jam 1.30 petang pada 26 Disember lalu.

Jelasnya, semasa aktiviti perubatan tradisional ketika menghalau hantu tempayan itu mangsa terdahulu dibawa ke sungai berkenaan.

“Kejadian itu berlaku semasa pengadu atau ibu mangsa berusia 40 tahun membawa anak gadisnya berjumpa dengan bomoh terbabit untuk berubat kerana disangka diganggu oleh hantu tempayan.

“Pengadu bersama-sama mangsa sambil ditemani dua orang kawannya telah dibawa ke tempat kejadian dengan menggunakan perahu oleh suspek terbabit.

“Sampai sahaja dilokasi terbabit, upacara ritual iaitu ‘Miring’ dan ‘Bebiau’ diadakan di tepi sungai sebagai usaha menghapuskan hantu tempayan itu,” katanya.

Suara Sarawak