Percubaan bas hidrogen 1-14 Ogos

KUCHING: SEDC menerima kelulusan daripada JPJ dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (CVLB) bagi pentauliahan perkhidmatan bas hidrogennya di Kuching.

Pengurus Besar SEDC Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir berkata, bas hidrogen akan menjalani percubaan selama dua minggu sepanjang beberapa laluan di sebahagian besar bandar.

“Kami gembira dengan perkembangan terbaharu ini dan bas hidrogen kini akan berjalan di sekitar bandar sebagai sebahagian daripada tempoh percubaan yang berlangsung dari 1 hingga 14 Ogos,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kepada orang ramai bahawa bas itu tidak akan mengangkut penumpang pada masa ini.

Menurutnya, percubaan itu akan dipantau dengan teliti pegawai SEDC dan jurutera Sarawak Energy Berhad, Foshan Feichi Automobile Manufacturing Co, Ltd dari China dan Linde Hydrogen FuelTech.

Beliau menambah, percubaan itu untuk menguji bas pada tahap penggunaan bahan api hidrogen yang kemudiannya akan memudahkan kapasiti pengisian untuk ditentukan dan operasi loji hidrogen akan dioptimumkan.

“Penting bagi bas ini tidak membawa sebarang penumpang semasa tempoh percubaan kerana kita perlu memantau prestasinya semasa dalam perjalanan di laluan yang ditetapkan.

“Selain itu, menangani sebarang isu mengisi bahan bakar yang mungkin timbul disebabkan oleh faktor-faktor seperti cuaca, lalu lintas yang sesak,” kata Hadi lagi.

Beliau berkata terdapat tiga bas terlibat dalam percubaan dan laluan yang diliputi adalah di Tebingan Kuching, Jalan Tunku Abdul Rahman ke Pantai Damai di Santubong, Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub ke Medan Niaga Kubah Ria, Jalan Abell, Jalan Padungan, Jalan Sentral Timur, Jalan Tun Haji Openg, Jalan Satok, Jalan Kulas, Jalan Muda Hashim dan Jalan Datuk Ajibah Abol.

Suara Sarawak