KUCHING: Kerjasama antara Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) bagi menyaingi Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilihat sukar menjadi kenyataan.
Pengerusi DAP Chong Chieng Jen berkata, ia disebabkan PSB berkeras mahukan kerusi parlimen Sibu.
Menurut beliau, tidak logik untuk pembangkang bertanding di kerusi yang sama.
“Namun PSB bertegas untuk bertanding di kerusi yang dimenangi pembangkang daripada menumpukan tenaga, kekuatan dan sumber kepada kerusi yang disandang GPS.
“Ia menyebabkan kerjasama dengan PSB sukar kerana mereka berkeras mahukan kerusi Sibu dan mengancam jika kami tidak menyerah Sibu, mereka akan berjuang untuk setiap kerusi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita malam tadi (18 Oktober) selepas Majlis Penyampaian Ganjaran Sijil Tertinggi Pelajaran Malaysia (STPM) DAP yang diadakan di Ibu Pejabat DAP Sarawak di sini, malam tadi.
Ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah, beliau mendedahkan bahawa ia telah diselesaikan.
“Pakatan Harapan (PH) Sarawak akan bertanding di semua 31 kerusi parlimen manakala PKR akan bertanding kalau tidak silap saya 18 kerusi dengan tambahan kerusi di Kapit, dan bakinya ditandingi oleh Parti Amanah,” katanya.