ARTIKEL

Perenang kebangsaan, Lim Yin Chuen intai peluang ke Olimpik Paris

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Kemenangan dalam acara 100 meter (m) gaya bebas lelaki pada hari pertama Kejohanan Renang Terbuka Malaysia pada Rabu merupakan satu langkah penting bagi perenang kebangsaan Lim Yin Chuen yang mengintai peluang ke Olimpik 2024 di Paris, Julai ini.

Dalam kejohanan yang diadakan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, di sini, Yin Chuen muncul juara dengan mencatatkan masa 50.19 saat (s), mengatasi rekod peribadinya 50.57s pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

Perenang berusia 24 tahun itu mengetepikan cabaran Arvin Shaun Singh Chahal, yang meraih perak buat Terengganu dengan catatan 50.50s, manakala Rasmus Nickelsen dari Denmark yang merekodkan 50.69s memperoleh gangsa.

Bercakap kepada pemberita selepas upacara penyampaian hadiah, atlet dari Pulau Pinang itu berkata beliau akan mencuba sebaik mungkin untuk mencapai masa kelayakan Olimpik 48.34s pada Kejohanan Renang Kebangsaan Singapura ke-19 yang akan diadakan pada 12-15 Jun ini.

“Saya sangat berpuas hati dengan keputusan hari ini dan pertandingan besar saya seterusnya akan diadakan di Singapura bulan depan. Sasaran saya seterusnya adalah untuk cuba layak ke Sukan Olimpik.”

“Hebat jika saya berjaya (ke Paris 2024). Selain Sukan Olimpik, saya turut berharap dapat beraksi dalam kejohanan jarak pendek dunia (Kejohanan Akuatik Dunia – 25m),” katanya kepada pemberita.
Kejohanan Akuatik Dunia 2024 (25m) akan diadakan dari 10 hingga 15 Dis ini di Budapest, Hungary.

Sementara itu, bekas perenang kebangsaan Chan Jie dari Selangor hanya kekurangan 0.02s untuk memecahkan rekod kebangsaannya sendiri 24.14s dalam acara 50m kupu-kupu lelaki.

Beliau merangkul perak manakala Rasmus Nickelsen dari Denmark menguasai acara tersebut dengan catatan 23.72s dan Diggory Dillingham dari Amerika Syarikat membawa pulang gangsa (24.83s).

“Rekod kebangsaan saya dicatat pada Februari (lepas) jadi saya tak jangka untuk memecahkan rekod itu dalam masa singkat. Pada masa ini, mengekalkan masa (24s) masih petunjuk yang baik,” katanya.

Sementara itu, Olimpian Phee Jinq En dari Selangor menduduki tempat kedua dalam acara 200m kuak dada wanita dengan 2 minit 33.86s di belakang juara, Thea Blomsterg dari Denmark.

Blomsterg memecahkan rekod kejohanan yang dipegang perenang Thailand, Phiangkhwan Pawapotako (2:32.21s) pada 2016 menerusi catatan baharu 2:26.61s, manakala Tan Rouxin dari Johor melengkapkan podium dengan 2:36.85s.

Kejohanan empat hari itu akan berlangsung hingga Ahad. — BERNAMA

BERITA LAIN

Malaysia langkah kanan, tuai dua pingat gangsa

PETALING JAYA: Malaysia memulakan kempen Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-23 dengan langkah positif selepas menuai dua pingat gangsa pada hari pertama saingan yang berlangsung

BERITA TERBARU

Tiga lelaki tiba-tiba rebah akibat rokok tercemar

BERLIN, Jerman: Dua lelaki tiba-tiba rebah semalamselepas menghisap rokok yang mengandungi bahan tidak diketahui, lapor agensi berita Jerman (dpa). Rokok berkenaan dipercayai dibeli daripada penjual