ARTIKEL

Norfarhanah Ahmad Shukri

“Pergi haji hasil hadiah daripada arwah ayah” – Norfarhanah Ahmad Shukri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MAKKAH: Ketika masih di bangku sekolah, Norfarhanah Ahmad Shukri sering kehairanan mengapa dia tidak mampu bermewah seperti kanak-kanak sebayanya membeli makanan ringan mahupun barangan keperluan lain menggunakan duit raya yang diperoleh setiap kali Aidilfitri.

Hidup dalam serba kepayahan kerana ayahnya hanya bekerja sebagai pemandu bas manakala ibunya seorang suri rumah menyebabkan Norfarhanah, abang serta kakaknya tertanya-tanya ke mana semua duit raya yang diperoleh setiap tahun itu pergi.

Sehinggalah menginjak usia remaja, barulah Norfarhanah faham sebenarnya wang itu dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji (TH) oleh orang tua mereka.

Mengimbas kembali kenangan itu, Norfarhanah yang kini berusia 25 tahun dan bekerja sebagai guru tadika bersyukur kerana daripada hasil tabungan itulah dia mampu menunaikan haji pada usia muda tanpa mengeluarkan wang gaji walau sesen pun.

“Kami datang daripada keluarga susah tetapi hasil simpanan duit raya terutama yang diberi pak cik, mak cik dan saudara-mara, saya mampu menunaikan haji.

“Saya anggap inilah hadiah daripada mak, ayah dan saudara-mara semua.

Saya tidak keluarkan duit apa-apa pun… disebabkan kami orang susah, jadi pak cik dan mak cik memang selalu bagi duit raya dalam jumlah yang besar, mak terus masuk dalam TH,” katanya dalam keadaan sebak ketika menceritakan hal itu kepada petugas media di hotel penginapannya di sini.

Mengenang pengorbanan ayahnya yang bekerja siang dan malam untuk menyara keluarga hingga mampu mendaftarkan mereka sekeluarga menunaikan haji pada 2008, menyebabkan Norfarhanah tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir.

“Ketika itu kami pun hidup dalam kesusahan, mak pernah tanya ayah cukup atau tidak wang untuk daftar haji untuk kami sekeluarga, ayah cakap ada, Allah bagi rezeki lebih untuk kesemua anaknya dan inilah hasilnya,” katanya yang pernah menolak tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar ekoran kemiskinan hidup.

Paling menyedihkan bekas pelajar Maahad Tahfiz Johor itu apabila ayahnya meninggal dunia pada 2018, ketika berusia 56 tahun akibat sakit jantung sebelum sempat menunaikan haji sedangkan pada tahun yang sama, mereka sekeluarga menerima tawaran mengerjakan ibadah berkenaan kecuali dirinya kerana usia terlalu muda ketika itu.

Apabila sampai ke Madinah baru-baru ini, perkara pertama yang dilakukan Norfarhanah adalah sujud syukur dan walaupun berseorangan menunaikan rukun Islam kelima itu, dia yakin Allah SWT dan TH akan sentiasa membantunya.

“Saya sentiasa ingat pesanan mak, sepanjang di sini jaga solat, istiqamah dan yang penting bantu jemaah-jemaah lain dan anggap mereka seperti mak ayah sendiri.

Sebab itu di sini memang saya panggil jemaah wanita, umi, mak, mama dan juga ibu,” katanya yang turut menjadi Sahabat Maktab. — BERNAMA

BERITA LAIN

Malaysia kekal pertahan hak Palestin – PM Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi pendirian bahawa Malaysia kekal mempertahankan hak rakyat Palestin. Beliau berkata pendirian itu turut dinyatakan

Juruteknik mengaku tidak bersalah pukul isteri

PORT DICKSON: Seorang juruteknik yang rakaman video perbuatan dia memukul isterinya menjadi tular di media sosial bulan lepas, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari

Pelakon veteran, Kamal Bakar meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran Kamaruldzaman Bakar atau lebih dikenali Kamal Bakar meninggal dunia di Hospital Melaka awal pagi ini. Pemergian pelakon itu pada usia 62

BERITA TERBARU