Pergolakan politik resahkan rakyat

KUCHING: Pergolakan politik yang berlaku di Malaysia harus diselesaikan dengan segera meskipun Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Interim ketika ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Unimas, Profesor Madya Dr. Neilson Ilan Mersat berkata, pelantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim oleh Yang di-Pertuan Agong adalah mengikut lunas Perlembagaan tetapi tugasnya agak terhad.

“Ini kerana kesemua 13 negeri dalam Malaysia mendapat kesan secara langsung dan tidak langsung berikutan pergolakan politik. “Malah, pembangunan turut tertangguh kerana tiada barisan kabinet apabila kuasa Perdana Menteri Interim tidak dapat melaksanakan semua tugas,” katanya ketika ditemu bual oleh sebuah stesen radio nasional berbahasa Iban pada Selasa lalu.

Menurut Neilson, pergolakan politik di Malaysia ketika ini mengundang keresahan dalam kalangan rakyat kerana pertama kali berlaku. “Berbanding India dan negara-negara lain, pergolakan politik seumpama ini adalah pertama kali berlaku di Malaysia.

“Pilihan raya sebelumnya menyaksikan peralihan kuasa atau kabinet berjalan dengan lancar, bebeza kali ini,” jelasnya. Katanya lagi, Yang di-Pertuan Agong juga boleh menyerahkan kembali mandat kepada rakyat melalui pilihan raya.

“Berkemungkinan akan ada pilihan raya sekiranya tiada parti memperoleh majoriti yang sewajarnya. “Namun, jika pilihan raya sekali lagi diadakan, ia memerlukan kos besar dengan anggaran RM500 juta,” ujarnya. Oleh itu, Neilson berharap agar kemelut politik di Malaysia diselesaikan dengan segera apabila Perdana Menteri Interim digantikan dengan Perdana Menteri sebenarnya.

Suara Sarawak