Perhebat bantuan rakyat

KUCHING: Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh menyambut baik Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin pada Rabu.

Katanya, Pemerkasa merupakan penekanan kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat serta kelangsungan perniagaan secara berterusan.

“Terdapat banyak peluang Pemerkasa antaranya bantuan kehilangan pendapatan dengan bantuan tunai secara sekali bayar sebanyak RM500 diberikan kepada golongan B40 dan tambahan RM500 kepada penerima BPR yang berpendapatan RM1,000 ke bawah selain akses Internet lebih luas dan baik,” katanya.

Melalui Pemerkasa terdapat lima fokus utama dengan 20 inisiatif bagi pemulihan negeri sepanjang tahun berjumlah RM20 bilion.

Fokus utama untuk mengawal penularan Covid-19, memacu pemulihan ekonomi, memperkukuh daya saing negara, melaksanakan agenda inklusif wilayah dan masyarakat  serta mentransformasi ekonomi.

Oleh itu, jentera kerajaan khasnya penjawat awam sangat penting sebagai pengantara terhadap polisi ini dan diharap dapat dinikmati semua yang memerlukan.

Sementara itu kerajaan menyediakan dana RM30 juta membantu usahawan wanita beralih ke pasaran dalam talian seperti Kempen e-Dagang PKS, PKS Mikro dan Program Shop Malaysia Online.

“Pusat Khidmat Belia boleh membantu warga di kawasan untuk memohon peruntukan jika perlu,” ujar Len.

Suara Sarawak