ARTIKEL

(Dari kiri) Dennis Harun Wong, Robert Hardin, Aziz Husain, Abang Johari, Thomas Brostrom, Salman Baray dan Mathew Chandapillai.

Perintis hidrogen hijau terbesar dunia, ACWA Power, lakukan kunjungan hormat bersama SEDC Energy ke atas Premier Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Syarikat penyahgaraman air swasta terbesar di dunia dan peneraju dalam peralihan tenaga serta perintis dalam hidrogen hijau, ACWA Power, bersama SEDC Energy (SEDCE) telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini.

Kunjungan hormat daripada ACWA Power, yang berpangkalan di Arab Saudi, dan SEDCE itu diadakan di pejabat Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia.

Pada kunjungan hormat tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif SEDCE, Robert Hardin, dan Ketua Pegawai Pelaburan ACWA Power, Thomas Brostrom, membincangkan butiran Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua syarikat tersebut kepada Abang Johari.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk kesan MoU yang ditandatangani SEDCE dan AWCA Power terhadap Sarawak dalam visinya untuk menjadi Bateri Asia Tenggara.

Robert menekankan nilai kerjasama dengan ACWA Power yang menyokong kedudukan Sarawak untuk mencapai cita-cita tenaga diperbaharui.

“ACWA Power telah membangunkan kemudahan hidrogen bersih terbesar di dunia, iaitu syarikat hidrogen hijau NEOM.

“Pengalaman luas mereka dengan projek bersejarah ini menawarkan pengetahuan yang berharga.

“Oleh itu, kami percaya bahawa kepakaran mereka akan menyokong perjalanan Sarawak ke arah masa depan yang lebih bersih dan mampan,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Brostrom berharap kerjasama itu dapat menawarkan pengalaman terbaik ACWA Power dalam tenaga diperbaharui dan hidrogen hijau.

Katanya, ia sekali gus menyumbang kepada peta jalan strategik Sarawak.

“Kerjasama ini menggambarkan impak mendalam daripada bekerjasama dengan pemain industri yang berkongsi visi dan komitmen untuk menyediakan tenaga mampu milik, boleh dipercayai, mampan dan moden,” ujarnya.

Sebelum ini, ACWA Power dan SEDCE menandatangani MoU untuk sama-sama meneroka pembangunan pengeluaran hidrogen hijau berskala besar yang menggunakan sumber tenaga diperbaharui di Sarawak.

Kerjasama itu akan memanfaatkan kepakaran kedua-dua pihak dalam penyelesaian tenaga mampan yang akan membantu mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai peneraju dalam sektor tenaga baharu di rantau ini.

Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain, Ketua Strategi dan Pemasaran, Dennis Harun Wong, Naib Presiden Wilayah ACWA Power, Salman Baray, Penasihat Perniagaan, Songyi Koo, dan Pengarah Negara AWCA Power, Mathew Chandapillai, turut hadir.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU