Perjalanan akhir Sarjan Simon Laja

SIBU: Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menghadiri upacara pengebumian seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mendiang Sarjan Simon Laja di Taman Peringatan Nirvana di sini, semalam.

Mendiang berusia 47 tahun terkorban dalam tragedi kepala air di Ulu Baram pada 3 Disember lalu.

Suasana hiba pada upacara pengebumian mendiang dilakukan mengikut adat istiadat polis dihadiri ahli keluarga dan rakan-rakannya yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.

Turut hadir untuk memberi penghormatan terakhir ialah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail, Komander PGA Sarawak SAC Mancha Ata dan Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit.

Mendiang merupakan anggota Batalion PGA ke-12 di Miri dan seorang polis bantuan Sarjan Kemian Dugat, 50, terkorban selepas dihanyutkan arus deras ketika menjalankan rutin rondaan di kawasan Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) di Sungai Melana, Long Kerangan di Ulu Baram sekitar kejadian pada jam 6 petang ketika itu.

Aidi dalam satu kenyataan pada 5 Disember lalu berkata, kedua-dua mangsa bersama-sama lima lagi anggota rondaan lain sedang melalui satu kawasan sungai cetek sebelum kawasan terbabit dilanda kepala air.

“Simon dan Kemiang dihanyutkan arus deras manakala lima yang lain berjaya menyelamatkan diri,” katanya.

Sejurus selepas kejadian, tujuh anggota PGA dengan bantuan pekerja Kem Lanyun menjalankan operasi mencari dan menyelamat sebelum kedua-duanya ditemui lemas.

Mayat Simon dijumpai pada jam 2 petang sementara mayat Kemiang ditemui setengah jam kemudian.

Simon berasal dari Sungai Berangan, Sarikei meninggal seorang balu Ensunie Ungat, 45 berasal dari Julau dan lima cahaya mata berusia lima hingga 24 tahun.

Sementara itu, Acryl ketika ditemui menggalakkan anggota polis mengambil Insurans Koperasi PDRM.

Katanya, mereka boleh membeli unit insurans kerana ia membawa manfaat besar kepada anggotanya.

“Kerja polis sangat berisiko ketika kita bertugas, pergi dan balik bertugas.

“Adanya insurans ini, ia juga dapat melindungi ahli keluarga apabila berlaku musibah selain turut memberi manfaat kepada waris yang mereka tinggalkan,” jelasnya.

Bercakap mengenai mendiang beliau berkata, mendiang Simon bertugas dalam pasukannya selama 24 tahun.

“Pelbagai jenis bantuan kita jalankan bagi memastikan kebajikan ahli keluarganya dijaga.

Pencen mendiang juga sudah kita uruskan.

“Dengan adanya insurans itu yang dibeli oleh mendiang, keluarganya akan menerima RM75,000 dan wang pencen.

“Kita berharap, ia sedikit sebanyak membantu keluarga mendiang meneruskan kehidupan selepas ini,” tambahnya.

Suara Sarawak