Perjalanan politik Jerip

KUCHING: Adun Mambong Datuk Dr Jerip Susil, 62, mula terlibat dalam politik pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 1995.

Ketika itu, pengamal perubatan dari Kampung Karu ini bertanding sebagai calon Bebas menentang Datuk William Tanyuh (SUPP) namun tewas.

Beliau kemudian bertanding sekali lagi atas tiket Parti Reformasi Sarawak (Star) pimpinan Datuk Dr. Patau Rubis pada Pilihan Raya Parlimen 1998 menentang Dr James Dawos Mamit, calon langsung BN, namun kecundang.

Dr. Jerip kemudian keluar daripada Star dan menyertai SUPP sebelum bertanding dan menang dalam Pilihan Raya Negeri 2001 di Dun Bengoh, dan mengekalkan kerusinya pada 2006, apabila menewaskan Dr. Patau.

Pada 2011, Dr. Jerip bertanding menentang Willie Mongin, calon PKR di Dun Bengoh, dan menang dengan majoriti 3,646 undi. Dr. Jerip meraih 8,093 undi, manakala Willie memperoleh 4,447 undi manakala calon Bebas, Wejok Tomik mendapat 1,007 undi. Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016, Dr Jerip mengutip 6,161 undi untuk menewaskan calon DAP, Sanjan Daik (2,828) undi dan Willie Mongin (2,645) undi.

Dari segi perjalanan politiknya, Dr Jerip seorang yang kaya pengalaman, kerana beliau pernah menganggotai parti STAR, SUPP, TERAS, UPP dan PSB. Dr Jerip juga pernah memegang portfolio Menteri Muda Kesihatan Awam sebelum dilantik Menteri Muda Pengangkutan.