Perjalanan sangat lancar

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

SAMBUTAN Aidilfitri sudah sampai ke penghujung.

Pun demikian, hari ini kebetulan cuti hujung minggu, masyarakat nampaknya masih galak mengadakan rumah terbuka.

Tidak kurang juga penganjuran Ramah-tamah ataupun Ramah Mesra Aidilfitri.

Biasanya, pada penghujung Syawal ini, majlis ini dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan di kampung serta majikan.

Malah, ada juga yang balik kampung hari ini dan esok — menyambung ziarah raya di kampung pula.

Dan ketika ini, untuk balik ke kampung yang terletak di bahagian-bahagian lain di negeri ini, bukan lagi menjadi satu masalah besar.

Mana tidaknya, ada yang paginya balik ke kampung di Sibu misalnya, petang pula sudah berada di rumah sendiri di Kuching.

Jelas menunjukkan tempoh perjalanan antara bahagian kini menjadi semakin pendek.

Semua ini asbab adanya Lebuh Raya Pan Borneo yang hampir siap sepenuhnya.

Kita tidak lagi risau akan perjalanan yang panjang tempohnya kerana pembinaan lebuh raya ini berjaya memendekkan tempoh perjalanan.

Kurang-kurang hanya satu setengah jam perjalanan dapat dijimatkan.

Malah, ada yang mampu menjimatkan dua jam masa perjalanan.

Tidak seperti sebelum ini, perlu berfikir dua, tiga kali untuk balik ke kampung.

Pertama, jalan kurang baik.

Kedua, masa perjalanan pula agak panjang.

Kadang-kadang perlu juga menempuh perjalanan yang agak perlahan sebab jalan tidak lebar (satu lorong sehala) — juga banyak kenderaan.

“Okey ke jalan?”

Ini antara pertanyaan apabila ada ahli keluarga atau rakan-rakan balik kampung sebelum Aidilfitri atau mana-mana perayaan sebelum ini.

Baca lain  Undi 18, hak dan tanggungjawab

Situasi ini berlaku apabila kerjakerja pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo bermula. Jawapan biasa yang didengar: “Masih teruk jalan.

Slow-slow memandu”.

“Berapa jam ambil masa untuk sampai ke kampung?” Jawabnya lagi: “Memang slow.

Lebih enam jam untuk sampai ke Sarikei”.

Atas sebab ini, ada yang berinisiatif menggunakan jalan pesisir — dari Kuching ke Samarahan, ke Sebuyau, Pusa, Saratok dan terus ke Sarikei.

“Jalan tok lagi jimat. Dapat juak lihat pemandangan kampung.

Cuma lamak sikit nunggu giliran naik feri,” jelas seorang rakan.

Seorang rakan lagi menjawab: “Bukan sik maok make jalan ya.

Gelik nyawaku nak nait feri memandu kereta”.

Atas faktor Lebuh Raya Pan Borneo belum siap, dan banyak jalan yang rosak selain banyak lencongan, ramai yang memilih menggunakan jalan pesisir. Lain pula jadinya.

Jalan itu sesak terutama di pangkalan feri Triso.

Sebelum ini, jalan sesak menuju ke pangkalan feri Sungau Buluh — kini sudah ada Jambatan Batang Sadong — perjalanan semakin lancar.

Hari ini, tanpa sedar hanya dua jam sudah sudah boleh sampai ke Sri Aman dari Kuching. Ini bagi yang memandu secara santai-santai.

Ada yang hanya mengambil masa tiga setengah jam dari kawasan Saratok menuju ke Kuching.

Ditanya adakah memandu laju, seorang rakan menjawab: “Sekitar 90 km per jam.

Kadang-kadang 100 km per jam.

Jalan dah bagus… lagipun jalan tidak sesak. Lancar perjalanan”. Ini yang dimahukan penduduk Sarawak sebelum ini.

Baca lain  Orang Pegu hilang dari Samarahan

Sudah lama mengimpikan jalan sebaik Lebuh Raya Pan Borneo untuk bergerak rentas bahagian, dan suatu hari kelak akan merentas negeri — dari Sarawak ke Sabah — menggunakan Rangkaian Jalan Sarawak-Sabah sepanjang 425 km.

Keselamatan

Namun demikian, siapnya Lebuh Raya Pan Borneo, maka akan ada tanggungjawab yang menyusul pula. Pastikan lebuh raya ini sentiasa berada dalam keadaan baik.

Pastikan segala kerosakan jalan dibaiki dengan segera. Tiada tangguh-tangguh!

Jika tidak, ia mampu menyebabkan perkara tidak diingini berlaku iaitu kemalangan — lebih buruk menyebabkan kemalangan maut.

Buat masa ini, ia masih lagi di bawah tanggungjawab kontraktor.

Jadi, kontraktor perlu memastikan pakej yang dianugerahkan kepada mereka berada dalam keadaan baik, lebih-lebih lagi Yang diPertuan Agong akan memandu sendiri di lebuh raya ini dari Lundu hingga ke utara Sarawak tidak lama lagi.

Agak tertarik dengan kenyatan Ahli Dewan Undangan Negeri Repok, Datuk Seri Huang Tiong Sii ketika membahaskan ucapan Yang di-Pertua Negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak baru-baru ini.

Memetik kata Huang, berkali-kali membuat aduan malah bersemuka dengan kontraktor agar lubang dan simpang yang rosak di Lebuh Raya Pan Borneo dapat dibaiki, namun usahaya sering kali tidak dihiraukan.

“Pelbagai alasan diberikan dan kerja pembaikan sering ditangguhkan, meskipun memberi risiko kepada keselamatan pengguna.

“Saya berkali-kali memohon Pan Borneo untuk memperbaiki lubang, memperbaiki semua simpang jalan di sepanjang jalan Pan Borneo contohnya di sekitar jalan Bulat, Jalan Stok, Jalan Kim San, Jalan Sungai Paoh, Jakar dan sebagainya.

Baca lain  Rahmah jaga perut

“Sering kali, aduan ini tidak dihiraukan dan kontraktor memberi pelbagai alasan tidak membaiki atau menyelenggara jalan terbabit,” katanya.

Memang YB Huang mengutarakan permasalahan Lebuh Raya Pan Borneo di kawasan beliau, namun teguran ini harus dilihat secara menyeluruh.

Keseluruhan lebuh raya sepanjang 750 km itu perlukan perhatian yang wajar.

Sebabnya, akan ada banyak kenderaan berat dan ringan akan berada di lebuh raya ini apabila ia siap sepenuhnya kelak.

Cuma sekarang mungkin perlu ada pemasangan lampu bagi menerangi jalan terutama pada waktu malam.

Berdasarkan pengalaman balik dari Sarikei ke Kuching pada Ramadan lalu, keadaan jalan agak gelap.

Tetapi bersyukur kerana jalan terang di beberapa lokasi terutama di pusingan P.

Sekurangkurangnya ia sebagai penanda bahawa ada lokasi untuk membuat pusingan P di hadapan.

Jadi, pengguna Lebuh Raya Pan Borneo perlu mengambil inisiatif melaporkan kepada pihak berwajib jika terlihat permukaan jalan rosak yang memerlukan pembaikan segera.

Ini bagi memastikan keselamatan pemandu itu sendiri dan pengguna yang lain.

Kepada rakan-rakan yang akan balik kampung sempena Gawai ini, kini sudah ada dua pilihan jalan.

Pertama Lebuh Raya Pan Borneo dan kedua Jalan Pesisir.

Mana-mana jalan yang akan digunakan kelak, sentiasa berhati-hati dan kekal fokus dalam pemanduan.

Kedua-dua jalan ada risiko jika kita tidak berhati-hati dan peka dengan keadaan jalan. 

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Adi, Jong, Abizai?

SASTERAWAN Negara. Gelaran yang belum pernah dimenangi oleh manamana penulis

Lain-lain

Bijak hidu peluang

SABAN tahun ribuan pelajar di seluruh Malaysia mendapat keputusan cemerlang