Perjanjian Komersial; Bahagian pendapatan lebih besar untuk Sarawak

KUCHING: Perjanjian Komersial yang dimeterai Kerajaan Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) antara lain menyediakan Sarawak dengan bahagian pendapatan yang lebih besar daripada hasil minyak dan gas yang dijumpai dan dikeluarkan di negeri ini.

Ini didedahkan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik menerusi satu kenyataan bersama sempena pemeteraian perjanjian berkenaan di Kuala Lumpur, hari ini.

“Ini juga menyediakan penglibatan yang lebih aktif oleh Sarawak dalam industri minyak dan gas melalui pengurusan sumber minyak dan gas darat oleh PETROS dan pelaburan oleh PETROS dalam penerokaan huluan di kawasan luar pesisir,” katanya.

Jaul dan Muhammad menambah Kerajaan Sarawak dan Petronas juga akan terus komited bekerjasama mewujudkan dan mengekalkan perniagaan yang stabil serta kondusif termasuk persekitaran pelaburan untuk pertumbuhan mapan industri minyak dan gas di Sarawak.

Justeru ke arah objektif berkenaan, perjanjian turut menyediakan rangka kerja perundingan di mana kedua-dua pihak akan dapat bersama-sama membincangkan perkara-perkara mengenai kepentingan bagi industri minyak dan gas termasuk yang mempengaruhi kepentingan negeri.

Perjanjian Komersial ini telah ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion dan Pengerusi Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh dengan turut disaksikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.