Perjuangkan hak kontraktor minyak dan gas di Sarawak

KUCHING: Persatuan Kontraktor Petroleum Sarawak (PPKS) akan memperjuangkan hak kontraktor minyak dan gas di negeri ini, agar sentiasa diutamakan dalam kerja-kerja perairan di Sarawak.

Presiden PPKS, Datuk Rahman Lariwoo berkata, tindakan itu adalah sejajar dengan tujuan dan matlamat persatuan, untuk membawa kesejahteraan kepada kontrakor tempatan.

“Kita berharap pihak Petronas dapat memberi peluang yang lebih kepada pihak persatuan mahupun kontraktor minyak dan gas di Sarawak.

“Ini kerana Sarawak berhak dan merupakan satu-satunya negeri pertama yang mengeluarkan minyak di Malaysia sejak 1910,” katanya.

Beliau berkata demikian, pada sidang media di salah sebuah hotel di sini tengah hari semalam.

Menurut Rahman, pihaknya juga menyokong penuh dasar-dasar yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri dalam industri minyak dan gas di negara ini.

Katanya, selain meperjuangkan nasib kontraktor tempatan, pihak persatuan juga berusaha untuk memberi kesedaran bagi menjalinkan kerjasama di bawah satu payung dengan Petronas.

“Kita percaya bahawa kebanyakan penggiat industri minyak dan gas tempatan berpengalaman dan berkemahiran tinggi dalam menceburi bidang ini.

“Untuk itu, kita sangat mengalu-alukan semua kontraktor yang berdaftar di Petronas Sarawak untuk mengikuti persatuan ini,” ujarnya lagi.

Terdahulu, lebih 400 syarikat telah berdaftar di bawah Petronas, namun sebahagian daripadanya tidak aktif dan lebih menumpukan kepada perkhidmatan katering.

Oleh itu, diharapkan platform ini dapat membantu dan menarik lebih banyak kontraktor tempatan atau mana-mana individu yang berminat untuk menceburi bidang minyak dan gas.