RAKYAT biasa boleh kahwin dengan anak rajakah?
Pertanyaan seorang pengikut Twitter milik Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 2019.
Apa yang menarik perhatian, Tunku Azizah menjawab – boleh.
Baginda seorang permaisuri cukup terkenal dengan sifat merendah diri dalam mendekati rakyat menjawab di kapsyen gambar baginda bersama-sama puterinya yang mendapat perkongsian ramai.
Keperibadian baginda yang disenangi ramai rakyat jelata itu membuatkan Raja Permaisuri Agong sering mendapat perhatian di media sosial.
Ciapan itu naik kembali selepas kedatangan Tunku Azizah bersama-sama Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah serta tujuh anakandanya menamatkan Kembara Kenali Borneo yang baru sahaja selesai pada Selasa di Kuching selepas banyak media sosial memaparkan sorotan luar biasa terhadap anakanda baginda.
Kehadiran putera-putera raja ke negeri ini mengocak mimpi indah gadis remaja terutamanya Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Sosok anak raja ini menarik perhatian ramai kerana wajahnya yang kacak serta penampilan sederhana dan mesra rakyat.
Ramai perkongsian di Tik Tok yang memaparkan orang ramai cuba mendapatkan tandatangan anak-anak raja itu, tidak kurang yang sanggup menunggu berjam-jam semata-mata mahu menatap dan bersalam dengan mereka..
Meninjau di Tik Tok, kebanyakan pemilik akaun ialah gadis remaja dengan kapsyen – tidak boleh move on, bakal suami kiriman Tuhan, marry me Tengku dan banyak lagi yang mencuit hati.
Impian ini seakan-akan merealisasikan cerita dongeng pari-pari atau fairy tale bertemu cinta dengan putera idaman. Tidak mustahil bukan bertemu jodoh dengan anak raja?
Perkahwinan orang istana dengan gadis luar istana yang mendapat sorotan terbesar adalah perkahwinan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dengan gadis biasa Zara Salim Davidson pada 17 Mei 2007.
Perkahwinan itu mendapat julukan Royal Wedding of the Year walaupun diadakan secara sederhana atas permintaan Sultan Nazrin yang ketika itu merupakan pewaris takhta Kesultanan Perak.
Sebelumnya, anak sulung mantan Yang di-Pertuan Agong kesembilan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah itu sering mendapat perhatian kerana wajahnya yang tampan.
Berkahwin pada usia hampir 50-an dengan gadis yang ditemuinya pertama kali pada 2005 ketika menyertai majlis makan malam di Seri Hartamas, Kuala Lumpur.
Manakala Zara yang kini digelar Tuanku Zara Salim memiliki pakej lengkap seorang permaisuri.
Bukan hanya dikurniakan raut wajah cantik, peribadi lembut dan merendah diri bahkan baginda juga seorang permaisuri yang berpendidikan tinggi dengan memiliki Ijazah Kejuruteraan Kimia kelas pertama di University of Nottingham, United Kingdom.
Manakala perkahwinan dirajan global yang mendapat sorotan luar biasa adalah perkahwinan Raja Charles Ke-3 – yang ketika itu masih bergelar pewaris takhta British – dengan Diana Spencer pada 29 Julai 1981 dengan membawa gelaran Princess of Wales.
Dunia memanggilnya sebagai Puteri Diana atau Lady Diana dan perkahwinan itu menarik jutaan penonton dari seluruh dunia.
Majlis itu merupakan acara mewah yang diserapkan dengan unsur tradisional dan kontemporari yang sesuai dengan perkahwinan pewaris takhta British.
Perkahwinan itu mengambil beberapa bulan persediaan yahg dilakukan dengan rapi bagi memastikan kemeriahan dan kelancaran majlis.
Ia merupakan majlis kenegaraan dan hari perkahwinan diisytihar sebagai cuti umum di United Kingdom supaya membolehkan rakyat menyertai perayaan tersebut.
Sepanjang jalan di London dihiasi dengan hiasan, bendera dan sepanduk.
Banyak pesta jalanan dianjurkan di seluruh negara, dan orang ramai berkumpul menonton televisyen dan mendengar pengumuman radio untuk menyaksikan acara bersejarah itu.
Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata Putera William pada 1982, dan Putera Harry pada 1984.
Dalam tempoh lima tahun, perkahwinan Charles dan Diana mula menghadapi kesukaran.
Hubungan tegang dan akhirnya perpisahan diketahui secara meluas.
Perhatian media yang berterusan mengenai kehidupan peribadi dan tekanan tugas diraja menjejaskan perkahwinan pasangan ini yang akhirnya membawa perpisahan rasmi mereka pada 1992, seterusnya perceraian pada 1996.
Kemudian Diana maut dalam kemalangan kereta di Paris pada 1997 bersamasama kekasihnya Dodi Al Fayed pada 31 Ogos 1997.
Begitu juga dengan anak Diana, Putera William yang mengahwini gadis biasa bernama Catherine Migddleton.
Bertemu ketika samasama menuntut di Universiti St. Andrews pada 2001, hubungan Middleton dan Putera William berlangsung hampir sedekad sebelum kedua-duanya akhirnya berkahwin pada 29 April 2011.
Namun mungkin juga ramai yang tidak tahu, mereka pernah mengambil keputusan untuk mengakhiri hubungan mereka pada April 2007.
Hubungan pasangan ini kemudiannya bertaut kembali selepas Middleton menghadiri konsert memperingati Puteri Diana pada Julai 2007.
Satu lagi cerita ala fairy tale yang menarik adalah perkahwinan Letizia Ortiz Rocasolano dengan Raja Sepanyol Felipe VI.
Letizia merupakan wanita kebanyakan pertama kelahiran Sepanyol yang bergelar permaisuri dengan gelaran Queen Letizia.
Baginda merupakan bekas wartawan dan pembaca berita yang diminati Raja Felipe.
Tidak banyak yang diketahui tentang kisah cinta mereka, namun hubungan mereka bermula selepas Felipe meminta orangnya menghubungi Ortiz dan mengaturkan satu janji temu sebelum berkahwin 22 Mei 2004 dan dikurniakan dua puteri – Leonor dan Sofia.
Sebelum mendirikan rumah tangga, Letizia menjalani kehidupan biasa sama seperti rakyat tempatan yang lain.
Baginda bekerja dengan televisyen tempatan dan pernah membuat liputan tentang Pilihan Raya Presiden Amerika pada 2000, peristiwa serangan Pusat Dagangan Dunia pada 11 September 2001, dan peperangan di Iraq pada 2003.
Detik pertemuan Letizia dengan Raja Felipe bermula 2002 apabila ditugaskan untuk membuat liputan kejadian tumpahan minyak di Galicia.
Di sana, mereka bertemu secara kebetulan bagi meninjau keadaan Sepanyol yang terjejas akibat kejadian tersebut.
Bermula pertemuan atas hubungan kerja, Raja Felipe mula jatuh hati.
Mereka mula menjalinkan hubungan dalam rahsia namun berkahwin selepas meyakinkan ayahandanya, Raja Juan Carlos I bahawa pilihannya sesuai dan tepat.
Felipe dinobatkan sebagai Raja Sepanyol pada 19 Jun 2014. Namun dalam dunia nyata, perkahwian ala fairytale tidak semuanya indah.
Puteri Diana pernah mengungkap kata – menjadi seorang puteri tidak seperti yang diharapkan kerana aku hanya ingin seseorang ada untukku, untuk membuatku berasa selamat, tenang dan dilindungi.