Perkasa 3 juara lumba Salui Lukut Kaul Mukah 2019

Dua buah Salui Lukut milik Merni Idi dari Kampung Penat Mukah mengungguli Pertandingan Lumba Salui Lukut sempena Kaul Mukah 2019 dalam Kategori Akhir Raja-Raja Salui Lukut setelah menduduki tempat pertama dan kedua.

Salui Lukut yang dinamakan Perkasa 3 menjadi Juara dan tempat kedua dengan Salui Lukut Mutiara Hitam 2, tempat ketiga pula dimenangi oleh GP4 dimiliki oleh pasukan Gerak Pantas Petanak. Juara Kategori Akhir Raja-Raja Salui Lukut membawa pulang Piala Pusingan Ahli Parlimen P213 Mukah.

Manakala bagi Kategori Akhir Harapan Salui Lukut pula dimenangi oleh Salui Lukut Singa Kala 2 yang dimiliki oleh Ismail Hasan dari pasukan Singa Kala Oya setelah berjaya menewaskan Salui Lukut GP5 #bersangkabaik dimiliki oleh James Anthony dari pasukan Gerak Pantas Petanak. Salui Lukut Nars, milik Nasriq Razak dari pasukan Tutus Hilir Team pula menduduki tempat ketiga.

Menang… Mahadir Darahi, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Belia Parlimen Mukah melalui Kelab Sukan dan Rekreasi Gerak Pantas Petanak dengan kolaborasi Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah. Hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Mahadir Darahi, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah dan Tarmizi Karnain dari Pertubuhan Belia Parlimen Mukah. Semua hadiah piala iringan sumbangan Cr Johan Harris Sulaiman dan wang tunai sumbangan Ahli Parlimen P213 Mukah.

Perlumbaan saringan pertandingan telah diadakan pada 27 dan 28 April 2019 manakala pusingan akhir telah diadakan pada 1 Mei 2019 di Padang Mesra MDDM Mukah. Sebanyak 210 buah Salui Lukut yang menyertai pertandingan pada kali ini dengan penyertaan terbanyak dari Kampung Tutus Ulu sebanyak 75 buah Salui Lukut melalui Pewaris Setia Tema dan Intan Permata Group. Penyertaan termuda ialah dari pasukan Gerak Pantas Petanak, Nedthaniel Terry yang berumur 9 tahun dan paling otai, Agum Pusun, 70 tahun dari pasukan Trivago Rajang Sakti.

Lepas… Yakub Arbi dan tetamu lain membuat simbolik pelepasan Salui Lukut sebagai tanda permulaan pertandingan.

Menariknya pertandingan kali ini apabila turut dikunjungi oleh Ahli Parlimen P213 Mukah Yang Berhormat Dato` Hajah Hanifah Hajar Taib dan Yang Berhomat Yakub Arbi ADUN N58 Balingian, yang juga melepaskan beberapa saringan perlumbaan tersebut pada hari pertama pertandingan. Turut serta ialah Raimi Rabuimen, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah, Royston Valentine, Pengerusi Pertubuhan Belia Parlimen Mukah dan Norzelan Bahron, Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Gerak Pantas Petanak.

Sebagai rekod, Salui Lukut merupakan replika perahu bidar yang yang diolah pelbagai jenis bentuk, saiz dan panjang. Perahu tersebut dipasangkan dengan sejenis daun parasit iaitu, daun Lukut. Pada zaman dahulu, permainan ini hanya dimainkan didalam sungai bagi mengisi masa lapang. Oleh kerana mendapat sambutan yang menggalakkan dari peminat dan penggiat sukan Salui Lukut, Pertubuhan Belia Parlimen Mukah melalui Kelab Sukan dan Rekreasi Gerak Pantas Petanak telah membuat kolam litar tiruan bagi memudahkan penganjuran pertandingan. Tahun ini merupakan tahun ketiga pertandingan ini diadakan bagi memeriahkan Kaul Mukah.