Perkasa Internet Kebendaan

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkasakan kelebihan teknologi seperti Internet Kebendaan (IoT) selari dasar Kerajaan Persekutuan khususnya dalam bidang pertanian.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, penubuhan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (Statos) menjadi hubungan di antara  Sarawak dan Singapura dalam pengeluaran makanan yang memenuhi standard republik itu.

“Singapura mengambil berat mengenai makanan dan apa yang Kerajaan Sarawak lakukan dengan mengajak mereka serta rakan kongsi dalam keperluan makanan yang memenuhi standard negara itu. “Apabila kita dapat mencapai standard Singapura dalam keperluan makanan, saya pasti kita dapat menguasai keseluruhan pasaran makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama dengan penjawat awam di sini, pada Khamis.

Bagaimanapun katanya, bagi memenuhi strategi itu dari sudut pertanian, ia memerlukan Kerajaan Sarawak meningkatkan jaringan Internet.

“Justeru, saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memperkenalkan Projek Jendela yang sudah tentunya akan membantu kita. “Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) akan mempelopori teknologi baharu untuk mempercepatkan komunikasi kita,” jelasnya.

Menurut Abang Johari lagi, dalam melonjakkan Sarawak ke arah negeri maju 2030, infrastruktur di negeri ini perlu lebih berkelas kerana apabila itu berlaku, pelabur asing boleh datang ke Sarawak. Beliau memberitahu, bagi menaik taraf infrastruktur di negeri ini juga, Kerajaan Sarawak tiada pilihan lain selain menggunakan peruntukan yang ada.

Katanya, walaupun Sarawak berhadapan sedikit masalah dan banyak jambatan yang perlu dibina dengan kos tinggi, namun ini untuk rakyat khususnya melengkapkan jaringan jalan pesisir. “Jalan pesisir penting untuk rakyat kerana 65 peratus penduduk kita di kampung dan kawasan pedalaman berada di kawasan ini.

“Malah, ia boleh membangunkan sektor lain termasuk perkhidmatan dan pertanian di kawasan berkaitan,” ujar beliau.

Suara Sarawak